Isu WikiLeaks tidak harus tenggelamkan harga naik

Pendedahan kontroversi WikiLeaks seperti mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kes liwat dan Datuk Seri Najib Razak dengan dakwaan skandal pembunuhan perempuan Mongolia, Altantuya Shaaribuu tidak seharusnya mengalihkan perhatian rakyat daripada isu kenaikan harga petrol, diesel, gas dan tepung pada 4 Disember lalu, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad.

“Isu harga barang telah menimbulkan kemarahan rakyat, kerana mereka sudah mula terasa dengan kenaikan harga barang-barang keperluan harian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Idris, kerajaan BN semakin takut dengan kemarahan rakyat terhadap isu kenaikan harga barang dan ia telah menjadi bualan di kalangan rakyat peringkat bawahan termasuk di kalangan penyokong tegar Umno.

“Isu WikiLeaks telah memberi peluang kepada media untuk mengalihkan isu kenaikan harga barang pada ketika ini.

“Banyak jawapan Pak Pandir oleh pemimpin BN yang bertaraf Menteri untuk dijadikan halwa telinga, supaya rakyat jangan marah. Antaranya harga petrol lebih murah daripada Singapura, bukan kenaikan tetapi penyelarasan, bukan kenaikan tetapi subsidi dikurangkan, kerajaan kena naik harga minyak kerana mengelak daripada diseludup ke negara jiran,” katanya.

Idris juga mendakwa media arus perdana pula diarahkan supaya jangan meletakkan tajuk petrol naik, sebaliknya mereka dikendaki mengunakan istilah penyelarasan.

“PAS mengingatkan kepada jentera penerangan di peringat akar umbi mesti menaikkan kain rentang dan gunakan media baru seperti face book, twitter, blog untuk menaikkan amarah rakyat kepada BN yang tidak bijak menguruskan negara.

“Mesti garapkan isu ini supaya rakyat bangkit menolak kerajaan BN dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya. MalaysiaKini

Ulasan