Keupayaan Pas layak mengepalai Kerajaan Pusat Nanti

Pas lebih layak ganti UMNO memerintah

KUALA LUMPUR – Pas lebih layak menggantikan UMNO bagi menguruskan negara ini jika memperoleh kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang dengan persetujuan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Datuk Abu Bakar Chik berkata, komponen Pakatan Rakyat (PR) perlu meyakini keikhlasan dan keupayaan Pas kerana ia layak mengepalai kerajaan.
“Pas tidak pernah mengkhianati, tetapi yang menjadi pengkhianat adalah orang lain,” katanya selepas sidang media berkenaan penubuhan dana pendidikan Pas, di sini, semalam.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Amanah berkata, walaupun Pas tidak mempunyai kerusi di Sabah dan Sarawak, tidak bermakna Pas tidak boleh memimpin Kerajaan Pusat.
Berkenaan penubuhan Dana Pendidikan Pas, katanya, ia adalah komitmen Pas kepada institusi pendidikan, khususnya dan masyarakat amnya dalam usaha bagi memartabatkan pendidikan Islam dan memberi peluang kepada pelajar dan tenaga pengajar mendapat kemudahan prasarana di sekolah.
Pas menyasarkan RM1 juta hasil sumbangan daripada golongan korporat dan orang ramai. Majlis makan malam berkenaan penubuhan dana pendidikan itu bersama Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan diadakan pada 29 Januari 2011 di Hotel Blue Wave, Shah Alam.
SinarHarian

Ulasan