"Pakatan Rakyat Bakal tawan Perlis"

Meskipun tarikh pilihan raya umum belum diketahui, namun PKR mula memasang angan-angan untuk menumbangkan kerajaan negeri BN di Perlis.Untuk itu, PKR cabang Arau mula mengatur dialog dan majlis makan malam bersama rakan-rakan pemimpin Pakatan Rakyat dan NGO lain bagi mencari input serta formula untuk menawan negeri itu.

Ketua cabang berkenaan, Hashim Bakar berkata seramai kira-kira 300 orang terdiri daripada ahli, penyokong Pakatan dan NGO akan menghadiri dialog berkenaan yang membincangkan tajuk "Pakatan Rakyat nak tawan Perlis".

"Kita akan berbincang, mengambil input serta pandangan mengenai isu-isu dan strategi daripada NGO dan penyokong Pakatan dalam usaha kita menawan Perlis,” katanya.

Menurutnya, beberapa pemimpin Pakatan di peringkat pusat dan negeri serta pengamal undang-undang juga akan dijemput mengupas tajuk berkenaan.

Antara tokoh itu termasuk Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Md Akin, Thomas Su (Pengerusi DAP Kedah/Perlis), Rus'sele Eizan (ketua penerangan PAS Perlis), Sharif Shaari (Angkatan Sasterwan Perlis) dan Zulmi Sabri (peguam) dan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Perlis Khoo Yong Chong.

Hashim berkata cabang berkenaan akan menganjurkan dialog tersebut di Dewan Chi Yong Kor di Kangar pada 18 Disember ini, mulai jam 9 malam.Manakala timbalan ketua cabang Arau Tengku Nazri Tengku Aldin ditugaskan untuk menjadi moderator pada majlis dialog tersebut, kata Hashim.

Pada pilihan raya umum 2008, Pakatan Rakyat hanya berjaya menguasai dua daripada 15 kerusi DUN Perlis.Kedua-dua kerusi itu - Sanglang dan Simpang Empat - berjaya dirampas oleh PAS.Di peringkat parlimen, semua tiga kerusi - Padang Besar, Kangar dan Arau - kekal dimenangi oleh BN.

MalaysiaKini

Konvensyen Pakatan, fokus solidariti, PRU-13

Ulasan