Analisa Pasca PRK DUN Tenang


LABIS 31 JAN : Pilihan Raya Kecil (PRK) N 5 Tenang berakhir semalam dengan keputusan rasmi, calon Barisan Nasional (BN) Azahar Ibrahim memperoleh 3,707 majoriti undi menumpaskan calon PAS-Pakatan Rakyat, Nomala Sudirman.

Bagaimanapun terdapat sedikit kekeliruan berkaitan jumlah yang keluar mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengumumkan 71.8 peratus atau lebih 10,592 pengundi keluar mengundi sebelum membetulkannya kira-kira jam 10 malam tadi.

Peratusan keluar mengundi rasmi pilihanraya kali ini mengikut SPR ialah 66.7 peratus atau kira-kira 9,736 pengundi mencatatkan penurunan berbanding tahun 2008 iaitu sebanyak 73 peratus jumlah keluar mengundi.

Ini berikutan cuaca hujan lebat sepanjang proses mengundi termasuk beberapa kawasan di daerah Labis dinaiki air.

3,247 mangsa terpaksa dipindahkan ke 29 buah pusat pemindahan JKM di Labis dan Segamat.

Rata-rata masyarakat Tionghua masih yakin dengan Pakatan Rakyat apabila 64 peratus mengundi Normala namun dengan cuaca yang tidak menentu menyebabkan hanya 54 peratus golongan Cina keluar mengundi, jatuh 18 peratus dari 2008.

Hanya UPU Bandar Labis Tengah mencatatkan kutipan undi tertinggi dengan jumlah 801 undi berpihak kepada PAS yang rata-rata pengundi adalah masyarakat Tionghua.

Turut serta pertarungan sengit antara PAS dan BN di sekitar pekan Labis yang hanya mencatatkan perbezaan sebanyak 50 undi yang juga pengundi Cina.

Strategi PAS merangkul seberapa banyak undi masyarakat Cina ternyata berhasil namun ini tidak mampu menandingi undi yang diperoleh BN di tiga kawasan tanah rancangan Felda DUN itu.

Peratusan undi kaum Melayu yang diterima BN ialah 83.3 peratus, meningkat 4 peratus berbanding 2008.

Sementara itu, 81 peratus pengundi membuang undi, meningkat 2 peratus berbanding 2008.

Ini disimpulkan masih terdapat ruang yang mampu diperbaiki untuk mendekati masyarakat Felda terutama menerusi peranan Kumpulan Anak Peneroka Felda (ANAK) yang diketua Mazlan Aliman.

Penguasaan Umno-BN di kawasan Felda menjadikan majoriti pengundi Melayu yang kononnya masih percaya akan relevannya prinsip dan dasar yang disampaikan parti itu -dengan harapan martabat mereka dijulang walaupun sekian lama diperjuangkan.

Sementara itu, undian kaum India membimbangkan apabila hanya 39 peratus turun mengundi, kurang 23 peratus dari 2008.

Sokongan kepada BN pula menokok kepada 80 peratus, lebih 30 peratus dari yang diperoleh sebelum ini.

Provokasi yang dilontarkan kepada calon PAS, Normala Sudirman sepanjang kempen pilihanraya kecil DUN Tenang mampu ditangkis walaupun menyentuh isu keperibadian beliau.

Ketika air mula naik membanjiri Pekan dan Bandar Labis, DAP mempertikai diskriminasi bantuan SPR, dan jabatan kerajaan lain untuk membantu pengundi di kawasan itu yang majoritinya berketurunan Cina ke pusat pengundian.

Menurut Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Chen Hau kepada TV Selangor, hal ini adalah tidak adil kerana bantuan sepatutnya diberikan kepada semua golongan pengundi.

Ini menyumbang kepada peratusan keluar mengundi yang menurun.

Malah, hanya masyarakat Melayu di kampung dan Felda sahaja yang mencatat penambahan bilangan peratusan pengundi mengikut kaum sebanyak 2 peratus manakala kaum Cina dan India merosot teruk sehingga 23 peratus.

Sepanjang berlangsungnya pengundian aduan turut mengaitkan isu membeli undi oleh BN di kawasan Tenang Station di kalangan kaum cina.

Malah sehelai cek Public Bank Segamat bernilai RM 3 ribu milik 'MCA Cawangan Tenang' ditemui tanpa nama pembayar dipercayai untuk membeli Undi Kaum Cina.

Laporan Polis telahpun dibuat namun sehingga kini tiada sebarang kenyataan dikeluarkan dari pihak Polis, MCA ataupun SPR berkaitan perkara ini.

Jumlah undi ini nyata berkurangan berbanding Pilihan Raya Umum lalu apabila calon PAS Saim Siram meraih 3,875 undi dikalahkan calon Umno Datuk Sulaiman Taha dengan majoriti 2,492 undi.

Perbezaan undi majoriti menyatakan sokongan kaum Melayu dan India semakin menurun terhadap PAS justeru memberi kata putus bahawa parti itu perlu mempertingkat usaha mendekati masyarat kedua-dua kaum itu.

Antara isu yang dikenalpasti perlu diatasi ialah kekurangan keyakinan bahawa PAS dapat menggantikan Umno dalam meyakinkan masyarakat desa dan Felda serta sentimen berkenaan penerimaan masyarakat India kepada Pakatan Rakyat khususnya PKR dan DAP dalam pelbagai isu seperti kes novel 'Interlok', pergolakan dalaman PKR dan lain-lain.

Malah, dapat dibaca di sini bahawa masyarakat India mungkin kurang berminat untuk mengundi kerana merasakan tiada faedah atau pembelaan ke atas mereka dari BN mahupun PR.

Walaupun menang, calon BN, Azahar Ibrahim masih tidak boleh menarik nafas lega kerana beliau perlu menangani masalah banjir yang berlaku pada ketika ini.

Malah, beliau terpaksa juga memikirkan tuntutan saman mahkamah oleh Norhana Mohd Ali berjumlah RM1.5 juta Februari nanti terhadap beliau.

Apapun, kini, Barisan Nasional perlu lebih giat mengubah polisi dan corak pentadbiran mereka kerana sudah pasti Pakatan Rakyat akan kembali mencaturkan strategi dan kempen serta sudah pasti bersedia untuk membalas dendam dalam PRK Merlimau 6 Mac ini.

Bagaimanapun, kredit kepada Pakatan Rakyat kerana pemimpin dan akar-umbi PAS, PKR dan DAP bekerja keras dan komited berkempen dengan kesatuan kukuh seolah-olah calon di Tenang adalah dari parti yang sama.

Berbeza dengan BN yang memberi mesej berbeza terhadap kelompok berlainan seolah masih menitik berat dasar pecah dan perintah warisan penjajah British satu ketika dulu.

Pengundi DUN Tenang adalah seramai 14,753 orang, dengan nisbah populasi mengikut kaum seperti berikut, 7,014 orang Melayu (47.54%), 5,766 orang Cina (39.08%) dan 1,780 orang India (12.07%); selain 171 orang kaum asli (1.16%), 6 orang bumiputera Sabah (0.04%) dan 5 orang bumiputera Sarawak (0.03% ).TVSNWES

Ulasan