Kait Dengan Pengganas: Menteri KDN Sengaja Burukkan Imej Anwar


SHAH ALAM 29 JAN: Naib Presiden PKR, Tian Chua mendakwa Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan pimpinan Umno sengaja menggunakan isu laporan CNN untuk terus memburukkan nama dan imej Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan imej pengganas.

Dakwa Hishammuddin laporan CNN telah mengaitkan Anwar tetapi beliau mengakui beliau belum membaca laporan tersebut.

Semalam, Menteri Dalam Negeri itu berkata arahan telah dikeluarkan kepada polis bagi menyiasat dakwaan yang mengaitkan Anwar Ibrahim dengan kumpulan pengganas antarabangsa.

Bercakap kepada Tv Selangor, Tian Chua menjelaskan isu itu telah digunakan oleh Umno untuk terus memutarbelitkan fakta dan membuat tohmahan palsu kepada Anwar.

"Hishamuddin serta beberapa kumpulan Umno ini sengaja memutarbelitkan berita ini untuk memburukkan imej Anwar.

"Ini satu pembohongan kerana laporan CNN bertentangan dengan maklumat ini tetapi nampaknya sudah ada konspirasi," kata Ahli Parlimen Batu itu.

Jelas Tian Chua lagi, beliau menggesa rakyat tidak mudah terpedaya dengan satu lagi cerita rekaan yang dibuat oleh pimpinan Umno-Barisan Nasional(BN) yang sengaja menggunakan apa sahaja peluang yang ada untuk menjatuhkan imej pimpinan Pakatan Rakyat.

Menurut CNN, ia telah menemui laporan mengenai siasatan rahsia Arab Saudi berhubung aduan oleh Najib kononnya ada tokoh-tokoh diraja negara itu yang membiayai Anwar.

Menurut laporan CNN, siasatan berkenaan mendapati tiada bukti seumpama itu.

"Sebaliknya mereka mendedahkan bahawa dana ini telah disalurkan kepada beberapa kumpulan yang mungkin disyaki ada hubung kait dengan kumpulan pengganas, tetapi berita itu tidak mengaitkan dengan Anwar Ibrahim," katanya.TVSNEWS

Ulasan