Krisis SUK: Jangan Sampai Rencat Pembangunan Negeri - Khalid

SHAH ALAM 2 JAN : Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mahu pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri(SUK) merencatkan pembangunan Selangor yang diatur oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Beliau menegaskan peneraju pentadbiran Selangor, kerajaan negeri harus diberikan kuasa yang secukupnya untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat.

Khalid mempersoalkan rasional Kerajaan Persekutuan berkeras melantik Khusrin sebagai SUK walaupun tahu bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor itu bukan calon pilihan kerajaan negeri.

"Tak boleh pertanggungjawabkan orang yang tak ada autoriti. Macam pasukan bola yang orang lain pilih dia punya pemain. Tak boleh. Nanti bila dia kalah 'coach'(jurulatih) salah. Pemain itu boleh sepak kaki kanan sahaja, kaki kiri tak boleh.

Pelantikan Khusrin oleh Putrajaya membelakangkan proses pemilihan di peringkat negeri yang membabitkan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri, pejabat Menteri Besar dan Istana Selangor.

Minggu lalu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan Khusrin sebagai Seti baru berkuatkuasa semalam, walaupun jawatan itu hanya kosong pada Mac depan.

Khusrin dilantik tanpa melalui proses penilaian, berbeza dengan langkah kerajaan negeri yang menjalankan proses penyaringan sebelum mencadangkan calon yang paling sesuai untuk diperkenan oleh Sultan Selangor, Sultan sharafuddin Idris Shah.

Khalid berkata kerajaan negeri akan mencari pendekatan untuk mengatasi kemelut itu tetapi menegaskan Putrajaya harus menerima hakikat bahawa politik negara sudah berubah selepas pilihanraya umum 2008 setelah Pakatan Rakyat menawan lima negeri.

"Ini satu perkara penting dalam perbincangan masa depan. Ini membawa negara kita ke masa depan. Dulu negara kita tak mempunyai masalah ini begini. Dulu ada satu parti sahaja. Sekarang ada dua. Besok saya akan bincangkan dengan ahli exco dan akan buat keputusan tentang langkah yang akan dilakukan," jelasnya.

Tan Sri Khalid berkata Jabatan Perkhidmatan Awam harus bergerak seiring dengan peredaran masa dan peka kepada realiti sebuah negara yang mengamalkan sistem pelbagai parti dan tidak lagi didokong hanya oleh Umno-Barisan Nasional.

"Bagi masa depan untuk sistem parti yang pelbagai, kaedah terbaik untuk perkhidmatan awam ialah mengamalkan sikap profesional, telus dan ada tanggungjawab yang jelas. Jadi ini masa yang betul untuk betulkan kesilapan dulu, jadi ada baiknya. Tapi masalahnya saya tak tahu banyak yang pandai ke atau banyak yang tukang pukul. Kerana negara kita sudah sampai ke satu peringkat kematangan di mana pemahaman tentang tanggungjawab," katanya.TVSNEWS

Ulasan