Laporan CNN: Anwar kecam Najib dakwa Saudi biaya PRU

January 28, 2011
Anwar mendakwa Najib kian tertekan dengan gerakan politik PR. — gambar fail
KUALA LUMPUR, 28 Jan — Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa laporan Cable News Network (CNN) semalam menyerlahkan “ketakutan dan rekayasa” Datuk Seri Najib Razak untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat khususnya menjelang pilihan raya umum ke-13.

Dalam pendiriannya yang tegas, Anwar berkata beliau tidak terkejut sekiranya Perdana Menteri yang juga presiden Umno sanggup ke luar negara, bukan demi menarik pelaburan tapi semata-mata untuk menyekat dan mentohmahnya.

Laporan CNN itu muncul ketika tinggal tiga hari sebelum hari pengundian pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang dan di tengah-tengah spekulasi negara bakal menyaksikan pilihan raya umum ke-13.

Dakwaan itu dilihat sebagai yang paling keras daripada Najib ke atas Anwar sejak menjadi perdana menteri keenam pada April 2009.

Satu laporan risikan Saudi berkata tiada bukti mana-mana pegawai negara itu membiayai Anwar yang mengetuai Pakatan Rakyat, tetapi mengesan sebuah pertubuhan fundamentalis Islam yang ada hubungan dengan pemimpin pembangkang telah memanfaatkan rangkaian al Qaeda menerusi sokongan ahli-ahli politik negara-negara Islam.

CNN juga menamakan satu siasatan sulit telah dijalankan ekoran aduan Najib bahawa Saudi membiayai Anwar menjelang pilihan raya umum ke-13.

Malah rangkaian itu juga mendakwa pihak berkuasa Malaysia telah mengesyaki dua pegawai kanan kerabat diraja Saudi terlibat dalam pembiayaan kepada Anwar dan ini menyebabkan Riyadh memulakan siasatan sulit.

Laporan siasatan itu memutuskan bahawa tiada bukti menunjukkan pegawai-pegawai Saudi terlibat menyokong Anwar, yang bulan lalu digantung daripada menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan.

Sebelum ini Anwar dilabelkan oleh Umno sebagai ejen Yahudi.

“Dakwaan sokongan daripada keluarga raja Saudi yang dinamakan dalam laporan awal didapati tidak berasas,” kata laporan CNN lagi.

Justeru dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi ini Anwar memberitahu, kepimpinan Najib sudah mula merasai kesan yang dibawa oleh gerakan politik Pakatan Rakyat sehingga memaksa kerajaan membuat tuduhan sedemikian.

“Mereka sebenarnya sudah mula merasai angin perubahan yang bakal melanda. Mereka sedar rakyat Malaysia sudah mulai mual dengan segala macam kebobrokan.

“Kepimpinan Umno-BN sebenarnya fobia dengan kemaraan rakyat,” kata beliau lagi.

Kata Anwar, laporan CNN di bawah tajuk “Saudis discover new funding channels for Taliban, al Qaeda” memperlihatkan ketakutan Najib untuk berhadapan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum yang akan datang.

“Laporan CNN yang baru sahaja beredar beberapa jam lalu menyebut antara lainnya, Presiden Umno itu menyatakan rasa tidak puas hatinya kepada kerajaan Arab Saudi kerana terdapat dua Putera Arab Saudi yang menyokong dan membiyai saya untuk pilihan raya umum yang akan datang,” kata Anwar lagi.

Anwar menambah gerakan politik Pakatan Rakyat setiap hari berusaha membina dokongan rakyat terhadap usaha kami demi menyelamatkan Malaysia dari segala kepincangan yang disebabkan oleh kelemahan mentadbir pimpinan negara serta ketirisan akibat dari rasuah yang semakin membarah.

“Kehadiran Buku Jingga, sebuah dokumen yang mengandungi hasrat serta saranan Pakatan Rakyat demi menyelamatkan Malaysia dari terus parah akibat kerakusan dan ketidakcekapan pimpinan Umno-BN, memunculkan rasa takut Datuk Seri Najib.

“Beliau sedar dokumen tersebut mendobrak ilusi upaya pemulihan yang didendangkan Umno-BN kepada rakyat,” kata beliau.

Ketua Pembangkang itu berkata Najib yang juga pengerusi BN pastinya tahu rakyat tidak akan menerima bulat-bulat pengumuman demi pengumuman yang digarap semata-mata memenuhi maksud iklan.

“Ketakutan ini malah membuat beliau enggan berdebat secara terbuka berkenaan kedudukan ekonomi negara dengan saya.

“Malah, Perdana Menteri tidak segan silu menyerang saya secara peribadi sedangkan hasrat debat terbuka itu semata-mata mahu menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat Malaysia,” katanya.TheMalaysiaInsider


Ulasan