Pas Yakin Menang Di Tenang

Pas yakin peluang besar

KUALA TERENGGANU - Pas yakin berpeluang besar menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang dijadualkan berlangsung pada 30 Januari ini.
Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Harun Taib (gambar) mendakwa, pihak lawan (UMNO) sendiri bergantung kepada Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sekiranya beliau berjaya mempertahankan kedudukan di kawasan itu.
“Orang UMNO sendiri beritahu sekiranya Soi Lek berjaya mempertahankan MCA di situ, kemenangan itu akan memihak kepada mereka.“Sebaliknya, jika beliau tidak berjaya mempertahankan kedudukannya di situ, maka peluang cerah bagi Pas untuk menakluki kawasan itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Harun berkata, tempoh berkempen selama lapan hari bermula 22 Januari hadapan sebagaimana yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah sesuai dan akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh parti itu.
“Tempoh lapan hari cukup baik bagi kita, lama sangat pun tidak boleh juga.“Jentera Pas kini sedang bermesyuarat bagi mengatur strategi dan mengenal pasti kawasan yang perlu diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata, berbeza hari pengundian di DUN Tenang tarikh mengundi jatuh pada hari cuti berbanding PRK di DUN Galas.
Beliau ketika diminta mengulas mengenai calon yang akan dipertandingkan di DUN Tenang memberitahu, buat masa ini pihak jawatankuasa belum memutuskan lagi calon yang akan dipertandingkan.
“Kita baru sahaja mendapat maklumat mengenai tarikh penamaan calon dan pengundian. Jadi, setakat ini kita belum memutuskan lagi siapa yang akan bertanding di kawasan itu,” katanya.
Terdahulu, SPR menetapkan tarikh penamaan calon PRK bagi kerusi DUN Tenang, Johor pada 22 Januari ini dan jika ada pertandingan, pengundian diadakan pada 30 Januari.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Johor berhubung kekosongan kerusi DUN Tenang berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lalu.SinarHarian

Ulasan