Peneroka FELDA Sendayan Menang Rayuan Affidavit Kes Jual Beli Tanah


PUTRAJAYA 26 JAN: Hakim Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan affidavit bagi 16 Peneroka FELDA Sendayan, Negeri Sembilan untuk memasukkan satu perjanjian jual-beli tanah di kawasan Sendayan sebagai bukti untuk kes di Mahkamah Tinggi Seremban.

Ketua panel hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Suriyadi Halim Omar turut memerintahkan responden, Pentadbiran Tanah Seremban untuk membayar kos mahkamah sebanyak RM20 ribu.

Peguam, Muhammad Faiz Fadzil yang mewakili para peneroka memberitahu keputusan hari ini amat tepat kerana taksiran hakim Mahkamah Tinggi Seremban bahawa perjanjian tersebut merupakan satu penilaian nilai tanah adalah salah tetapi hanya satu lampiran untuk membuktikan kebenaran latarbelakang kes tersebut.

"Keputusan hakim mahkamah tinggi tidak membenarkan kemasukan atau 'admisability of affidavite' itu salah sebab undang-undang membenarkan sesiapa sahaja membuat kenyataan melalui afidavit. Afidavit ini adalah keterangan peneroka, ini sepatutnya diterima dan dibenarkan oleh mahkamah rayuan," kata beliau.

Katanya lagi, langkah seterusnya ialah menunggu pendengaran kes di Mahkamah Tinggi Seremban dan memandangkan perjanjian tersebut dapat digunakan sebagai bahan bukti, beliau berharap untuk mendapatkan pampasan sekurang-kurangnya RM3.00 sekaki persegi bagi tanah para peneroka tersebut.

Katanya lagi, pengurusan kes tersebut ditangguh ke 7 Februari, 2011 bagi menunggu keputusan mahkamah rayuan.

Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shahrin yang ditemui di pekarangan Mahkamah Rayuan pagi tadi berkata, kerajaan Negeri Sembilan seolah-olah 'membalas dendam' terhadap 16 peneroka yang enggan mengikut telunjuk mereka mengambil pampasan seperti warga Sendayan yang lain.

Beliau menjelaskan, pampasan sebanyak RM1.70 ke RM1.90 yang ditawarkan kini jauh rendah daripada tawaran kepada peneroka Sendayan lain yang menerima skim pampasan pada awalnya iaitu pada RM3.00 sekaki persegi.

"Kes FELDA yang tertangguh sejak dari 1996 dengan kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) dan MHS (MHS Land Sdn Bhd) datang ke Sendayan kononnya nak jadikan peneroka ini jutawan. Isu ini jelas igauan mimpi ngeri kepada warga FELDA tersebut dan ahkirnya cerita jutawan ini hanya tinggal angan-angan," kata beliau.

Peneroka memfailkan afidavit kerana sebelum ini, para peneroka yang hilang tanah akibat perampasan yang dilakukan oleh kerajaan Negeri Sembilan pada 1996 menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 telah memfailkan kes untuk mendapatkan pampasan sewajarnya dari kerajaan negeri.

Kerajaan Negeri Sembilan hanya menawarkan harga pembelian tanah antara RM1.70 ke RM1.90 sekaki persegi kepada 16 peneroka yang enggan mengambil pelan pampasan kerajaan pada masa itu, manalaka baki 497 peneroka Sendayan yang mengalami nasib sama memilih untuk menerima sahaja pampasan kerajaan negeri yang terbukti jauh lebih rendah dari harga pasaran.

Penilaian yang dilakukan oleh sebuah syarikat berlesen mendapati tanah tersebut yang terletak berhampiran bandar Seremban 2 itu bernilai RM5.76 sekaki persegi.TVSNEWS

Ulasan