Anwar : Ekonomi Negara Hakikatnya Masih Malap


PETALING JAYA 19 FEB : Malaysia masih terkebelakang dalam mencatatkan pertumbuhan ekonominya jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Singapura dan Indonesia, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana ujar Anwar, kedua-dua negara itu masing-masing mencatat pertumbuhan 14.5 dan 6.1 peratus pada tahun 2010.

"Kedua-dua jiran kita ini mengatasi pertumbuhan Malaysia; apatah lagi apabila pertumbuhan Indonesia adalah berdasarkan angka pertumbuhan asas yang lebih tinggi kerana Indonesia tidak mengalami penguncupan ekonomi dalam tahun 2009 seperti mana Malaysia dan Singapura," kata Anwar.

Semalam Bank Negara Malaysia mengumumkan ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 7.2 peratus untuk keseluruhan tahun lalu, berbanding penguncupan pada 2009.

Malah menurut kenyataan itu lagi, ekonomi negara dikatakan berkembang sebanyak 4.8 peratus pada suku keempat tahun lalu dan diperkukuh oleh pemulihan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, selain eksport dan import yang cergas.

Namun Anwar dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia berbeza dengan pertumbuhan Singapura yang disokong pertumbuhan kukuh dalam sektor pengilangan pada kadar 29.7 setahun, pencapaian Malaysia masih malap dalam kedua-dua aspek.

Menurut Anwar, pertumbuhan ekonomi kita hanyalah separuh dari yang dicapai Singapura, sementara pertumbuhan sektor perkilangan pada kadar 11.4 peratus hanyalah setakat satu pertiga pencapaian Singapura.

Penjelasan kedua-dua kerajaan dalam menerangkan perbezaan pertumbuhan sektor perkilangan ini adalah amat berbeza.

Singapura menyatakan bahawa permintaan yang kukuh dari pasaran dunia memesatkan pertumbuhan sektor perkilangannya, sementara Malaysia pula menyalahkan pasaran dunia sebagai akibat kelembapan sektor perkilangannya.

Walhal kedua-dua negara sama-sama bergantung kepada barangan eksport dan pasaran dunia.

" Hakikatnya, barangan yang dikilang di Malaysia semakin hilang daya saingnya di pasaran dunia kerana kita tersekat di tangga nilai yang bawah dan terpaksa bersaing dengan negara-negara yang struktur kosnya lebih murah; sedangkan pesaing seperti Singapura terus menghasilkan barangan bernilai tinggi.

" Amaran mengenai masalah ini telah diberikan sejak sedekad yang lalu, namun tidak ada satu langkah yang berkesan yang diambil kerajaan selain dari retorik politik yang dibayar oleh rakyat," tambah Anwar.

Malah katanya, keadaan semakin meruncing apabila berlakunya penguncupan duak sektor penyumbang utama di dalam suku keempat 2010.

"Sektor perlombongan dan pertanian adalah penyumbang utama kepada pendapatan Kerajaan Persekutuan melalui hasil minyak dan gas serta kelapa sawit. Kedua-dua sektor ini mencatatkan penguncupan dalam suku keempat pada kadar 1.3% (perlombongan) dan 4.3% (pertanian).

"Akibatnya, pertumbuhan tahunan yang sangat rendah pada kadar 0.2% (perlombongan) dan 1.7% (pertanian) adalah satu lagi petanda bahawa ekonomi kita semakin malap," jelas Anwar.

Justeru itu Anwar turut mengingatkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak agar lebih ikhlas dan mengakui bahawa ada jurang besar di antara yang kaya dan miskin di negara ini.

"Najib sepatutnya lebih ikhlas dan mengakui bahawa ada jurang yang besar di antara pengumuman projek-projek mega yang dibuat dibawah ETP dan realiti ekonomi yang ditanggung masyarakat niagawan dan orang ramai.

" Ramai di kalangan rakyat Malaysia yang masih ragu-ragu bahawa siri pengumuman projek itu hanyalah wayang yang akhirnya akan menguntungkan golongan pemerintah dan niagawan elit tanpa menyelesaikan masalah pokok dan struktur ekonomi negara,"kata Anwar.

"Pengurusan fiskal dan kewangan negara juga menunjukkan perbezaan yang besar di antara Malaysia dan jiran kita, terutamanya Indonesia," tambahnya lagi.TVSNEWS

Ulasan