Penahanan Aktivis Hindraf Lebih 27 Jam Langgar Artikel Perlembagaan


SHAH ALAM 14 FEB : Penasihat Parti Hak Asasi Manusia (HRP), P Uthayakumar menyifatkan, penahanan 22 daripada 75 aktivis Hindraf sehingga jam 5 petang tadi, sebagai melanggar artikel 5 (4) Perlembagaan Persekutuan.

" Mereka telah ditahan selama 27 jam. 3 jam melebihi akta yang diperuntukkan dalam Artikel 5 (4) Perlembagaan Persekutuan iaitu seseorang hanya boleh ditahan 24 jam," jelas Uthayakumar ketika diminta mengulas perkembangan terkini penahanan besar-besaran aktivis Hindraf di beberapa tempat berasingan semalam.

Semalam 75 aktivis Hindraf ditahan berikutan konvoi aman Hindraf bersama Parti Hak Asasi Manusia (HRP) mengedarkan risalah dan poster berkenaan satu perhimpunan aman hujung bulan ini.

Menurut Uthayakumar sehingga jam 5 petang tadi, kesemua tahanan sudah dibebaskan.

Difahamkan 22 aktivis yang hanya dibebaskan hari ini turut digertak akan ditahan selama 7 hari sekiranya tidak menanggalkan baju berwarna oren yang dipakai mereka.

Lantaran tidak mahu menanggalkan baju tersebut, mereka kemudiannya ditahan semalaman.

" Apabila mereka membuat keputusan sedemikian, pihak polis memaklumkan kepada mereka bahawa mereka akan ditahan sekali lagi dan akan dipenjarakan selama 7 hari lagi.

" Pada masa yang sama seramai 4 orang kanak-kanak tidak diberikan makan sehingga pukul 11 malam semalam dan mereka hanya dibebaskan jam 12.30 malam semalam," kata Uthayakumar lagi.

Sementara itu, menurut Uthayakumar, Ketua Penyokong Hindraf Negeri Sembilan, Siva Kumar telah ditahan dalam satu bilik gelap walaupun dalam keadaan kakinya yang bengkak.

Malah kehadiran isteri beliau malam tadi yang membuat laporan polis supaya Siva Kumar harus dimasukkan ke hospital kerana memang menghadapi masalah bengkak kaki yang serius, ia tidak dihiraukan pihak polis.

" Walaupun isteri beliau semalam pada jam 12.30 malam telah membuat satu laporan polis bahawa suami beliau harus dimasukkan ke hospital besar Seremban kerana baru minggu lepas dibenarkan pulang dari wad kerana mengalami kaki bengkak," jelas Uthayakumar.

Walau bagaimanapun, beliau hanya dilepaskan bersama-sama 22 tahanan lain petang tadi. TVSNEWS

Ulasan