Pilihan raya serentak DUN Merlimau, Kerdau?

February 13, 2011

KUALA LUMPUR, 13 Feb — Ekoran kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kerdau semalam, tumpuan arena politik tempatan sekarang sama ada pilihan raya kecil bagi mengisi kekosongan itu akan diadakan serentak dengan kerusi DUN Merlimau, Melaka.

Adun Kerdau Datuk Zaharuddin Abu Kassim (gambar) meninggal dunia petang semalam akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pernah mengadakan pilihan raya kecil serentak membabitkan dua hingga tiga kawasan meskipun tarikh awal bagi salah satu kawasan yang terbabit telah pun diumumkan terlebih dahulu.

Misalnya pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah diadakan serentak dengan kerusi DUN Galas, Kelantan sedangkan kekosongan wujud selang dua minggu.

Begitu juga pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau dan Batang Ai awal 2009.

“Saya rasa SPR masih ada masa untuk meneliti untuk mengadakan pilihan raya serentak,” kata seorang pemimpin Umno kepada The Malaysian Insider.

“Masih ada tiga minggu sebelum hari pengundian kerusi Merlimau,” katanya.

Jika keadaan mengizinkan pilihan raya kecil Merlimau dan Kerdau diadakan serentak SPR perlu menetapkan tarikhnya minggu ini dan tidak menjadi masalah memandangkan kekosongan ini wujud secara semula jadi.

Tiada kontroversi dalam menentukan status kekosongan berbanding kerusi Pelabuhan Klang.

SPR perlu menetapkan kekosongan kerusi itu dalam tempoh 10 hari dan kemudiannya menetapkan tarikh pilihan raya.

Meskipun masih ada tiga minggu tetapi berbanding dengan situasi awal 2009 dan ketika kekosongan membabitkan Galas dan Batu Sapi, kali ini SPR hanya mempunyai sekitar 21 hari sebelum hari pengundian kerusi DUN Merlimau.

“Jika mengambil kira aspek itu, saya rasa kemungkinan SPR akan melewatkan pilihan raya kecil kerusi Kerdau... pilihan raya kecil DUN Merlimau akan diadakan berasingan, terlebih dahulu,” kata seorang lagi pemimpin.

The Malaysian Insider difahamkan pertimbangan pilihan raya negeri Sarawak juga mungkin akan dipertimbangkan di mana negeri itu akan mengadakan konvensyen BN 5 Mac, yang dilihat sebagai petanda pilihan raya negeri semakin dekat.

“Ia berbeza berbanding kerusi Batu Sapi,” kata pemimpin itu yang tidak menolak kemungkinan pilihan raya kecil berasingan.

The Malaysian Insider juga difahamkan SPR akan mengambil kira pelbagai faktor termasuk soal logistik dan landskap bahagian pilihan raya DUN Kerdau itu sendiri dalam menentukan tarikh pilihan raya.

“Boleh atau tidak masih sukar untuk dikatakan, tetapi ia akan bergantung pada pelbagai faktor,” kata seorang pegawai.

Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober dan SPR menetapkan tarikh pilihan raya pada 19 Oktober.

Pengundian diadakan serentak dengan Galas pada 4 November lalu.

Pilihan raya kecil kerusi DUN Kerdau, yang mempunyai 8,451 pengundi tiga tahun lalu, merupakan pilihan raya kecil ke-16 sejak Mac 8 Mac 2008.

Rekod itu menyamai jumlah pilihan raya kecil 1987-1990 dan 1990-1995.

Negara pernah berhadapan dengan 17 pilihan raya kecil — jumlah tertinggi sejak awal 1980-an — yang diadakan sepanjang tempoh selepas pilihan raya umum 1995 dan sebelum pilihan raya umum 1999.

Ia pilihan raya kecil yang pertama membabitkan Pahang sejak Mac 2008.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi. Beliau memperoleh 4,135 undi manakala Hassanuddin pula meraih 2,520 undi.

Kerdau merupakan kerusi DUN baru yang diwujudkan menerusi urusan persempadanan bahagian pilihan raya terakhir lapan tahun lalu.TheMalaysiaInsider

Ulasan