PKR Yakin Dapat Sokongan Penuh Di Malaysia Timur



SHAH ALAM 10 FEB: PKR yakin meraih sokongan penuh di Malaysia Timur walaupun berhadapan krisis kepimpinan di Sabah.

Untuk itu juga PKR yakin untuk memenangi 25 daripada 30 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihanraya negeri Sarawak yang akan datang.

Ketua Strateginya , Rafizi Ramli berkata, PKR tidak akan memberikan 'kemenangan mudah' untuk Barisan Nasional(BN) dan akan meletakkan calon walaupun di kubu kuat BN.

"Kita mencari calon untuk diletakan lebih atau tidak kurang 30 kerusi dalam pilihanraya Sarawak akan datang. Untuk Kerusi lain kita memutuskan 'winnability'...kita melihat potensi 14 kerusi Iban, Orang Ulu tiga kerusi,tiga kerusi Bidayuh dan lima kerusi bandar Melayu-campur-Cina,"kata Rafiz lapor The Malaysian Insider.

Sebelum ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi ingatan kepada Ahli Majlis Tertinggi Parti supaya 'berlapang dada' jika mereka ingin bertanding dalam pilihanraya umum akan datang, yang dijangka akan diadakan tahun ini.

Sarawak kini dilihat sebagai simpanan tetap Barisan Nasional(BN). Manakala Pakatan Rakyat(PR) dilihat memberikan tumpuan kepada masyarakat Cina yang merupakan majoriti penduduk di kawasan bandar.

PKR telah memulakan kempen intensif selama dua bulan dibawah kepimpinan Ketua PKR Sarawak, Baru Bian di mana ketua-ketua parti bersama ahli parlimen akan mengadakan kunjungan lebih kerap untuk memantapkan kempen PKR.

Semua ketua diberikan ruang lingkup kerja yang lebih spesifik dalam usaha penstrukturan semula parti.

Menurut Rafizi lagi, biro politik parti telah berjumpa semalam untuk membincangkan pemimpin-peminpin yang berpotensi untuk dimasukan di dalam biro dan pengumuman akan dilakukan minggu hadapan.

"Terdapat isu-isu berkaitan Sabah yang perlu diperjelaskan kepada rakyat Sabah. Antara isu yang akan diperjelaskan ialah isu pendatang asing, persoalan tentang kuasa autonomi dan juga kes pengangguran yang tinggi," katanya.

Pada pilihanraya negeri 2006, BN meletakan calon di semua 71 kerusi negeri. PKR membuat kejutan dengan bertanding 25 kerusi, menang satu daripadanya sementara DAP bertanding 12 kerusi dan PAS satu kerusi.

Setakat ini, BN memiliki 61 Adun di Sarawak, DAP mempunyai enam dan PKR mempunyai satu sementara PAS tidak mempunyai sebarang kerusi. Parti Nasional Sarawak (SNAP) memiliki satu kerusi dan selebihnya Adun Bebas.TVSNEWS

Ulasan