AMK Selangor umum Majlis Pimpinan baru

SHAH ALAM: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor memberikan fokus untuk memantap, menyusun serta merangka strategi dan jentera organisasi di peringkat Cabang sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Justeru, Ketua Penerangan AMK Selangor, Mohd Saifullah Zulkifli dalam kenyataannya hari ini mengumumkan pelantikan Ketua AMK Negeri yang baru, Irwan Ismail bersama Majlis Pimpinan AMK Negeri hasil daripada pemukiman Exco dan mesyuarat AMK Selangor.

Irwan merupakan anak jati kelahiran Klang dengan latar belakang sebagai pegawai kanan kerajaan dan berkhidmat sebagai Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Klang.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Awam daripada UiTM Melaka dan aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan sebelum berkecimpung dalam politik.

Saifullah turut mengumumkan barisan Majlis Pimpinan AMK Negeri yang lain termasuk Timbalan Ketua, Najmi Shamsuddin, tiga Naib Ketua iaitu Hamsah Djabir, Lee Khai Loon dan S Saravanan. Turut dilantik ialah Setiausaha AMK negeri yang baru, Mohd Rezwan Alias manakala Mohd Alfaizal Amjed sebagai Bendahari.

Pimpinan AMK Selangor bukan sahaja memegang amanah mengemudi 20,000 anggota AMK di negeri itu, malah menggalas harapan dan membawa inspirasi 65 peratus penduduk Selangor yang terdiri dari anak muda.

“Banyak isu yang menyelubungi anak muda sedangkan pihak yang berkuasa, kroni, pemuda Umno terus kaya-raya membolot kekayaan negara.

“Dalam masa yang sama, program yang dianjurkan kerajaan negeri disabotaj oleh (kerajaan) Pusat kerana negeri hanya memegang kuasa dalam hal-hal kecil.

“Justeru, AMK Selangor menyedari bahawa dengan mentadbir kerajaan negeri belum cukup untuk melakukan perubahan kepada lanskap politik dan ekonomi negeri Selangor.

“AMK Selangor akan memberikan fokus memantapkan jentera pilihan raya serta merangka strategi bagi memenangi pilihan raya umum ke-13 kelak,” kata Saifullah.KeadilanDaily


Ulasan