Diskaun Kadar Tol - Akhirnya Rakyat "Dikenakan" Juga


KUALA LUMPUR 15 MAC : Walaupun rakyat dijanjikan pembekuan kenaikan tol lebuhraya, malah di sesetengah kawasan kadarnya dipotong, hakikat ialah kerajaan pusat terpaksa membayar pampasan lumayan kepada syarikat konsesi untuk melaksanakan langkah itu.

Perdana Menteri Najib Razak mengaku di Parlimen hari ini bahawa kerajaan pimpinannya terpaksa membayar RM90juta wang rakyat sebagai pampasan untuk lima tahun kepada syarikat konsesi kerana mengurangkan tol lebuhraya di PJS2 di Lembah Kelang sebanyak 60 sen.

“Ini hanya di satu plaza tol…kalau RM90 juta lima tahun, bermaksud RM18 juta setahun,” kata Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke ketika mengulas pengakuan Najib itu.

Loke berkata pembekuan kadar tol dan diskaun di beberapa lebuhraya hanya bersifat langkah sementara dan tidak menjanjikan sebarang manfaat jangka panjang untuk rakyat.

“Apakah akan berlaku apabila lima tahun berlalu? Kerajaan seharusnya mengumumkan butiran penuh pengstrukturan semula kadar tol untuk semua lebuhraya,” tambah beliau.

“Mengikut perjanjian konsesi dengan PLUS, syarikat itu boleh memungut tol untuk 27 tahun lagi. Jadi kerajaan harus menjelaskan rasional untuk membekukan kadar tol dan implikasinya atas kewangan negara buat masa ini. Adakah selepas lima tahun, kadar tol mungkin terpaksa dinaikkan,” tanya beliau.TVSNEWS


Ulasan