DUN Sarawak: Isu kerusi Pakatan hampir selesai, kata Guan Eng

March 27, 2011

GEORGE TOWN, 27 Mac — Perbincangan mengenai pengagihan kerusi antara pakatan pembangkang pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-10 dijangka selesai dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata keputusan mengenai pengagihan kerusi itu akan diumumkan oleh pemimpin tertinggi parti terlibat tidak lama lagi.

“(Ketua Pembangkang) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa perbincangan mengenai kerusi PKR dan PAS sudah siap. PKR dan DAP akan siap. Hanya tunggu pengumuman rasmi sahaja,” katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang kepada pemberita di sini, hari ini.

Pakatan DAP-PKR-PAS-SNAP dilaporkan gagal bersetuju dengan pengagihan kerusi yang mahu ditandingi pada pilihan raya negeri itu, yang hari penamaan calon ditetapkan pada 6 April dan pengundian 16 April.

Daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang akan dipertandingkan, PKR bertegas mahu bertanding di 52 kerusi, SNAP menuntut 40 manakala DAP dan PAS masing-masing 18 dan enam. — Bernama


Ulasan