Isu DNA: Tindakan paksa Anwar cabuli prinsip undang-undang

KUALA LUMPUR, 16 Mac — Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat menyatakan pendiriannya mempertahankan ketua mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil mendakwa sebarang paksaan agar beliau menyerahkan sampel DNA merupakan pencabulan prinsip utama undang-undang.

Ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pihaknya menyifatkan tindakan pihak-pihak tertentu yang kelihatan bersungguh-sungguh mendesak Anwar untuk menyerahkan sampel DNA beliau adalah sebahagian daripada episod terancang bermotifkan politik jahat dan khianat.

“Baik pihak pendakwaan mahupun NGO-NGO picisan yang bersungguh mendesak ini, kelihatan tidak faham akan prinsip asas undang-undang bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

“Dalam mana-mana kes mahkamah, adalah menjadi tugas pihak pendakwaan untuk membuktikan bahawa pihak tertuduh itu bersalah berdasarkan bukti yang jelas melampaui sebarang keraguan dan bukannya meminta atau mencipta bukti,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dalam kes Anwar, kata Shamsul Iskandar, beliau tidak perlu mengemukakan hatta secebis bukti sekalipun kerana beliau sendiri telah mempunyai alibi yang kukuh untuk menyatakan bahawa tidak terlibat dalam dakwaan penuduh.

Katanya, apa yang berlaku dalam kronologi kes fitnah kedua ke atas Anwar ini lebih bersifatkan pembunuhan karakter paling dahsyat pernah berlaku dalam sejarah politik negara.

“Anwar dinafikan akses ke atas pelbagai dokumen, malah pihak peguambela sendiri terhalang daripada menjalankan pelbagai ujian bebas ke atas bahan-bahan bukti yang dikemukakan oleh pendakwa.

“Isu DNA ini berterusan dimainkan agar dengan mudah pihak pendakwaan memalitkan tuduhan ke atas Anwar,” kata beliau lagi.

Shamsul Iskandar berkata percanggahan fakta sejak awal perbicaraan menunjukkan bahawa kes liwat kedua dihadapi Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat, langsung tidak mempunyai asas undang-undang yang jelas dan fakta yang kukuh, ditambah pula dengan kredibiliti penuduh yang jahanam.

Malah Shamsul Iskandar berkata tindakan pendakwaan bertentangan dengan Artikel 10 Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia 1948.

Tambahan pula kata Shamsul Iskandar, pembocoran awal hujahan pihak pendakwaan dalam permohonan jahat mereka untuk memaksa Anwar menyerahkan sampel DNA membuktikan lagi hujah bahawa “usaha membunuh karakter beliau dilakukan secara terancang” oleh pihak pendakwaan dan media massa di bawah telunjuk Umno-BN.

“Angkatan Muda PKR dengan tegas menyatakan bahawa tidak ada sebarang keperluan untuk Datuk Seri Anwar tunduk kepada desakan-desakan bebal yang sedang dilakukan oleh beberapa pihak.

“Ini akan menyebabkan berlakunya perubahan terhadap prinsip asas undang-undang itu sendiri dan menjadikannya sebagai seseorang itu bersalah sehingga dibuktikan tidak bermasalah,” katanya.

Shamsul Iskandar juga berkata pihaknya yakin dan percaya bahawa kelompongan kes ditambah dengan kekarutan pihak pendakwaan serta penyalahgunaan kuasa oleh pasukan polis terbabit dalam kes yang sedang dipertontonkan ini, berpotensi besar merosakkan imej Malaysia di mata dunia, susulan daripada apa yang telah berlaku sebermula 1998.TheMalaysiaInsider


Ulasan