Kes Anwar : Kenyataan Saiful "Mencurigakan"


KUALA LUMPUR 9 MAC : Seorang patologis forensik kerajaan hari ini mendedahkan percanggahan di antara pengakuan Saiful Bukhari Azlan dan pertuduhan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dr Razuin Rahim berkata Saiful memberitahunya beliau diliwat secara paksa oleh Anwar pada 26 Jun 2008 namun pertuduhan terhadap Ketua Pembangkang itu tidak membabitkan unsur sedemikian.

Saiful turut mendakwa beliau mengalami pendarahan akibat diliwat beberapa kali sebelum itu, namun pemeriksaan doktor pada 28 Jun 2008 mendapati tiada kecederaan sedemikian pada dubur Saiful.

Ditanya oleh peguambela Karpal Singh kenapa dakwaan Saiful bahawa bahan pelincir digunakan dalam kejadian liwat berkenaan tidak dicatitkan dalam borang pemeriksaan doktor, Razuin mendakwa borang berkenaan tidak sesuai untuk tujuan kes-kes liwat.

Razuin mendakwa Saiful memberitahunya bahawa beliau tidak pernah bersetuju untuk diliwat, memberi gambaran bahawa Anwar yang berusia 67 tahun dan mengalami sakit pinggang kronik, menggunakan paksaan untuk meliwat beliau (Saiful).

Razuin berkata beliau diarah member keterangan kepada pengawai penyiasat Timbalan Penguasa Jude Pereira dua kali iaitu Januari 2010 dan bulan lalu berhubung borang pemeriksaan awal ke atas Saiful.

Pendakwaraya turut memanggil Ketua Staf pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ibrahim Yakob ke kandang saksi.

Ibrahim berkata pada hari kejadian, beliau mengarahkan Saiful menghantar sebuah sampul surat kepada Anwar di Kondominium Desa Damansara sekitar jam 12 tengahari.

Anwar ketika itu sedang mengadakan mesyuarat mengenai isu-isu ekonomi bersama pakar-pakar bidang itu.

"Saya sibuk dan suruh Saiful menghantarnya kepada Datuk Seri Anwar. Beliau menggunakan kenderaan MPV berwarna merah," jelas Ibrahim.

Beliau memberitahu mahkamah Saiful meletakkan jawatan pada 27 Jun 2008 melalui email kepada Anwar dan beliau.

"Dalam email dia (Saiful) berkata, dia tidak dapat memikul amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya dan justeru itu meletak jawatan," katanya lagi.

Hakim Zabidin menangguhkan perbicaraan hingga jam 9 pagi esok untuk mendengar keterangan saksi terakhir DSP Jude.TVSNEWS


Ulasan