Kes Eskay lawan Merong Mahawangsa jadi tumpuan

Kes projek jambatan bengkok yang melibatkan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah lawan Merong Mahawangsa Sdn Bhd dan pengarah eksekutifnya Datuk Yahya A Jalil, bermula sebagai satu kes mahkamah biasa awal bulan, tetapi ia kini menjadi tumpuan pelbagai pihak.

Ini ekoran pengakuan Eskay sebagai sebahagian daripada 'Datuk T' yang terbabit dalam pendedahan video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Eskay (kiri dalam foto) dikatakan marah dengan ketua umum PKR itu kerana enggan memberi keterangan menyokongnya dalam kes samannya terhadap Merong and Yahya.

Berikutan peguam Eskay sendiri, CV Prabhakaran, telah menafikannya, maka kes ini mungkin boleh memberi klu mengapa Eskay begitu marah dengan Anwar dan mahu menjatuhkan ketua pembangkang itu.

Berikut ialah sorotan kes tersebut, di mana Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk VT Singham akan mengumumkan keputusannya pada 5 Mei depan:

Kes ini telah difailkan Eskay pada 2002 dan sebelum ini telah didengar oleh dua orang hakim, sebelum dipindahkan kepada Singham.

Eskay, yang merupakan pengarah syarikat Aman Agropreneurs Sdn Bhd, berkata dalam kenyataan tuntutannya bahawa pada sekitar 1998, Yahya (kanan) telah menemuinya untuk mendapatkan bantuannya memperolehi projek jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor.

Eskay berkata, dia telah dijanjikan 16.66 peratus saham dalam Merong Mahawangsa Sdn Bhd , di mana Yahya merupakan pengarah eksekutifnya, untuk mencari dana memandangkan dia mempunyai hubungan rapat dalam kerajaan serta di sebarang laut ketika berada di sana.

MalaysiaKini

Ulasan