Kes Fitnah 2 : UTK Diarah Tahan Anwar


KUALA LUMPUR 3 MAC : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagaimana beliau ditahan oleh pasukan polis bersenjata automatik dan diaibkan dengan pemeriksaan bahagian sulit termasuk duburnya sebelum dipaksa tidur atas lantai simen lokap.

Sepanjang penahanan itu pada 16 Julai 2008, Anwar tidak dimaklumkan sebab beliau ditangkap atau pun asas tuduhan yang dikenakan, mahkamah diberitahu pada perbicaraan dalam perbicaraan kes fitnah liwat terhadap beliau.

Anwar menegaskan penangkapan didalangi oleh Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri yang menggunakan Unit Tindakan Khas untuk menahannya sungguhpun beliau berjanji sebelum itu menyerah diri untuk disoal oleh polis.

"Sekarang umum telah melihat motif dan cara saya ditahan. Polis telah diarahkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri. Tiada polis yang berani datang dengan Unit Tindakan Khas (UTK) untuk menangkap Ketua Pembangkang tanpa arahan daripada ketua politik,” kata Anwar.

"Ini adalah mesej jelas untuk disampaikan kepada pemimpin-pemimpin politik. Anda tidak boleh fikir masyarakat akan menolak tepi undang-undang dan prosedur," kata Anwar kepada pemberita selepas memberi keterangan.

Keterangan Anwar itu adalah bagi membolehkan Hakim Dzabidin Mohamad Diah memutuskan sama ada polis mengikut undang-undang dalam merampas beberapa barang daripada lokap Anwar ketika penahanan itu.

Selepas membebaskan Anwar pada 17 Julai 2008, polis mengambil sehelai tuala, botol air mineral dan sehelai rambut dan berus gigi dari lokap beliau untuk ujian sampel DNA dengan tujuan mensabitkan beliau atas tuduhan meliwat untuk kali kedua.

Anwar memberitahu mahkamah bahawa sehari sebelum itu, beliau memaklumkan doktor di Hospital Kuala Lumpur bahawa beliau tidak mahu memberikan sampel DNAnya kerana khuatir ia akan diguna untuk merekacipta bukti sebagaimana yang berlaku pada tahun 1998.

Dua Perunding Pakar Bedah HKL, Datuk Dr Jayaindren Sinnedorai dan Dr Ee Boon Leong kemudian akur dengan pendirian Anwar.

Anwar berkata beliau kemudian terpaksa menjalani pemeriksaan yang cukup mengaibkan dan hanya bertujuan memalukan beliau.

"Saya nyatakan kenyataan laporan perubatan saya telah disorok oleh pendakwaraya. Dua orang doktor suruh saya menanggalkan pakaian dan mengukur alat sulit. Saya melihat ini tidak ada tujuan dan hanya untuk memalukan saya. Ini tidak dikemukakan oleh pendakwaraya, “ kata Anwar.

"Kesemua tujuan adalah untuk memanipulasi bahan bukti dan mahu menghukum saya sebelum saya diberi peluang untuk memberi kenyataan," tegas Anwar.

Anwar berkata laporan perubatan itu tidak ditandatangani oleh doktor berkenaan, Selepas pemeriksaan itu, Anwar dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur .

Mengimbau pengalamannya bermalam di Sel D9 di balai itu, Anwar berkata keadaan lokap amat menyedihkan walaupun beliau masih belum dikenakan sebagai tuduhan atau diberitahu asas-asas penangkapannya.

"Saya hanya mahu dilayan seperti orang awam di negara ini. Kita perlu menghormati undang-undang. Kita tidak perlu ikut Mubarak atau Gadaffi," jelasnya lagi.

Anwar berkata permintaan untuk sebuah tilam untuk bermalam di sel itu ditolak walaupun pihak polis diberi tahu beliau masih menghadapi sakit tulang belakang yang kronik.

Peguam Sankara Nair yang kemudian mengambil tempat di kandang saksi mengesahkan keterangan Anwar ditahan menggunakan kekerasan tanpa di beritahu asas-asas penangkapan itu.

Perbicaraan dalam perbicaraan akan bersambung esok jam 9 pagi dengan peguambela akan memanggil Sivarasa Rasiah sebagai saksi berhubung kejadian penahanan Ketua Pembangkang itu pada Julai 2008.TVSNEWS

Ulasan