PRK Kerdau Catat Peratusan Keluar Mengundi 83 Peratus


TEMERLOH 6 MAC : Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kerdau mencatatkan 83 peratus atau 7,480 orang pemilih keluar mengundi selepas semua 13 pusat mengundi ditutup 5 petang tadi.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya sudah menjangkakan jumlah itu berdasarkan pencapaian pada pilihan raya umum 2008 lalu iaitu 80.3 peratus.

Beliau berkata proses pengundian sejak pukul 8 pagi hingga 5 petang juga berjalan lancar walaupun terdapat beberapa insiden provokasi antara penyokong parti bertanding iaitu PAS dan Barisan Nasional (BN).

"Di Sekolah Menengah Kebangsaan Kerdau tadi, keadaannya memang tegang dan panas tetapi pihak polis bertindak pantas mengawal keadaan supaya tidak berlarutan menjadi perkara tidak diingini," katanya kepada pemberita di DewanTun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh di sini hari ini.

Beliau berkata kini kesemua 13 peti undi dibawa balik ke dewan berkenaan untuk dijumlahkan sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Kerdau Datuk Tarif Abdul Rahman mengumumkan keputusannya yang dijangka 8 malam ini.TVSNEWS


Ulasan