Video seks: SU Agung PKR mahu Mahathir, Najib tanggungjawab

March 25, 2011

KUALA LUMPUR, 25 Mac — Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Razak “memikul tanggungjawab” dalam skandal pendedahan rakaman video seks oleh tiga “Datuk T” pada Isnin lalu, yang mengaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, walaupun bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan beberapa individu tampil menyatakan mereka terlibat dalam pendedahannya, Dr Mahathir iaitu bekas perdana menteri dan Najib selaku perdana menteri adalah mereka yang harus bertanggungjawab.

“Ini kerana kedua-dua tokoh memainkan peranan penting menyuburkan budaya fitnah dengan memberi ganjaran dalam bentuk wang dan pangkat kepada mereka-mereka yang sanggup menjadi alat bagi menjayakan sesuatu fitnah,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Saifuddin menambah, fitnah telah menjadi budaya dan amalan Umno sejak sekian lama, malah di saat parti itu kehilangan sokongan, fitnah adalah satu-satu senjata mereka untuk terus berkuasa.

“Oleh itu penerbitan video seks palsu bertujuan memburukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengejutkan,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Machang.

Katanya, pada 1998, Anwar, ketika itu timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno, difitnah melakukan liwat dalam satu konspirasi oleh Dr Mahathir yang turut melibatkan hakim, polis, peguam negara serta beberapa individu.

“Rekod menunjukkan mereka diberi ganjaran besar,” kata Saifuddin lagi.

“Kemudian fitnah ini diteruskan oleh Najib mencipta satu lagi konspirasi baru, kali ini tuduhan rekayasa dibuat dengan Anwar dituduh meliawat Saiful Bukhari Azlan.

“Apakah ada yang percaya bahawa Saiful dan pemain-pemain lain yang menjayakan skrip fitnah ini tidak diberi ganjaran?” kata Saifuddin lagi sambil menambah, Ummi Hafilda Ali kini berceramah ke seluruh negara memburukkan Anwar.

Selasa lalu, Ummi berkata beliau tidak terkejut dengan pendedahan Isnin lalu dan berkata ada 18 rakaman lain.

Natijahnya menurut Saifuddin, Dr Mahathir dan Najib seolah-olah memberi mesej kepada rakyat bahawa mereka digalakkan memfitnah dengan ganjaran besar menanti dan malah mereka juga akan dilindungi.

“Kerana itu, Rahim Thamby Chik dan individu-individu tersebut berani membuat video seks palsu iaitu fitnah terbesar dan terjijik setakat ini di Malaysia. Najib dan Mahathir mesti memikul tanggungjawab,” kata beliau lagi.

Semalam, Abdul Rahim bersama ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah disoal siasat selama lima jam di Bukit Aman.

Kedua-dua mereka adalah dua daripada tiga “Datuk T” yang mengaku bertanggungjawab kepada pendedahan rakaman video seks tersebut.

Mereka turut menyerahkan video aksi seks seorang lelaki dengan seorang wanita serta seutas jam tangan Omega.

Hari ini kedua-dua mereka ditahan dan kemudian dibebas dengan diikat jamin.TheMalaysiaInsider


Ulasan