Bekas pemain bola Terengganu, isteri didakwa miliki heroin

MARANG, 19 April — Bekas pemain bola sepak Terengganu dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memiliki dadah jenis heroin seberat 120 gram di Bukit Payong, dekat sini pada 9 April lalu.

Mohd Asrul Zainuddin, 21, bagaimanapun dilepaskan atas permintaan Timbalan Pendakwa Raya Masriwani Mamat kerana tertuduh merupakan saksi pendakwaan.

Isteri beliau, Razulaika Rashid, 34, dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Razulaika mempunyai tiga orang anak bersama suami pertamanya manakala Mohd Asrul yang juga bekas penjaga gol skuad Piala Presiden Terengganu adalah suami keduanya.

Menurut laporan Bernama Online, tiada pengakuan direkodkan daripada Razulaika sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nor Azizah Yusoff.

Nor Azizah menetapkan 5 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pada 12 April lalu, media melaporkan mengenai penahanan Mohd Asrul dan isterinya dalam serbuan kira-kira pukul 9.30 malam 9 April lalu di sebuah rumah di Taman Tasik, Wakaf Dua, Bukit Payong.

Dalam serbuan itu, polis menemui 30 botol berisi dadah jenis heroin seberat 120 gram yang disorok dalam sebuah beg tangan dipercayai milik isteri pemain bola sepak itu yang berasal dari Kampung Lubuk Perah, Wakaf Tapai, di sini.

Sebaik serbuan dilakukan, Mohd Asrul dari Kampung Bukit Nangka, Tepoh ditahan ketika berada dalam bilik air manakala isterinya ditangkap ketika cuba melarikan diri bersama sebuah beg tangan.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas harta kepunyaan kedua-dua suspek yang keseluruhannya bernilai RM217,412 termasuk wang tunai.TheMalaysiaInsider


Ulasan