Husam dicalon tanding presiden PAS


Monday, April 11 @ 04:19:46 CDT

Dalam satu keputusan yang mengejutkan, PAS Kawasan Bukit Bintang telah mencalonkan exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa untuk bertanding jawatan presiden PAS dalam muktamar...

Dalam satu keputusan yang mengejutkan, PAS Kawasan Bukit Bintang telah mencalonkan exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa untuk bertanding jawatan presiden PAS dalam muktamar Jun ini.

Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat agungnya Jumaat lalu bertempat di Markas PAS kawasan Batu.

Mesyuarat itu juga mencalonkan bekas naib presiden, Mohamad Sabu untuk bergandingan dengan Husam bagi jawatan timbalan presiden.

Bagi tiga jawatan naib presiden pula, kawasan tersebut sebulat suara mencalonkan untuk mengekalkan penyandangnya, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.

Seorang lagi calon naib presiden ialah bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, kata yang dipertua PAS Bukit Bintang, Mohd Radzi Hashim.

Manakala calon bagi jawatankuasa PAS pusat pula, diserahkan untuk diputuskan oleh jawatankuasa kawasan itu.

Pada 2009, PAS Bukit Bintang pernah mencalonkan Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk bertanding presiden. Bagaimanapun mursyidul am PAS itu menolak pencalonan tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Mohd Radzi berkata pencalonan itu dibuat kerana Bukit Bintang percaya pemimpin berkenaan “boleh memimpin dalam suasana politik sekarang”.

“Akar umbi mahukan pemimpin yang boleh membawa perubahan dengan kehendak semasa tanpa memperlekehkan peranan (presiden sekarang) Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Beliau (boleh) lebih (berperanan dengan) diletakkan di Majlis Syura. (Oleh itu) Majlis Syura dapat diperkasakan dengan mengawasi dan memandu jawatan eksekutif,” katanya.

Menurutnya lagi, jika Abdul Hadi menganggotai Majlis Syura, maka beliau boleh membantu Nik Aziz antaranya menasihati ahli supaya tidak melanggar disiplin parti.

Mohd Radzi berkata, pencalonan bagi kepimpinan baru itu dilihat mampu untuk menarik golongan muda yang mahu perubahan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Gabungan antara ulama dan profesional dapat memperkasakan bagi menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata beliau dan barisan kepimpinan kawasan itu dikekalkan dalam pemilihan kali ini.Sumber : SINI

Ulasan