PAS memberi jaminan mempertahankan semua pimpinan Pakatan Rakyat

Ismail Hashim

SEREMBAN, 25 April: PAS memberi jaminan mempertahankan semua pimpinan Pakatan Rakyat, yang seorang demi seorang ditohmah oleh BN mutakhir ini, sehinggalah mereka dibuktikan bersalah.

Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli berkata, atas semangat Pakatan Rakyat, PAS tetap pertahankan sesiapa sahaja yang belum dibuktikan bersalah.

Dr Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai berkata, terkini media pro-BN menyerang peribadi Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang sedang dicari kelemahannya bagi memburukkan DAP dan kredibiliti Pakatan.

Beliau berucap demikian dalam program pidato umum anjuran Keadilan Seremban, dekat sini malam tadi.

Turut berucap adalah Presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, Ketua Penerangan Keadilan, Dr Mohd Nur Manuty, Ketua DAPSY yang juga Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke dan Presiden Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Cikgu Bard.

Majlis berjalan dalam keadaan hujan lebat namun hadirin tidak meninggalkan lokasi dengan terus mendengar ucapan pimpinan.

Bercakap tentang 1Melayu 1Bumi, Dr Hatta menegaskan isu terbaharu ini menunjukkan ada pihak cuba menimbulkan suasana tidak kondusif dalam kalangan rakyat berbilang kaum dalam negara ini.

Beliau mencabar Perdana Menteri Najib Razak segera mengambil tindakan menyiasat dan membicarakan mereka yang dengan mudah merangsang isu perkauman di negara ini.

"Jika Najib tidak mengambil tindakan segera terhadap golongan yang membangkitkan soal bahaya ini, bererti beliau juga bersetuju dengan isu perkauman ini," tegasnya dengan mendapat sambutan hadirin.

Jika Anwar tumbang


Sementara itu, Dr Wan Azizah yakin jika seorang Anwar tumbang, ramai lagi Anwar dalam kalangan anak muda akan meneruskan perjuangan menegakkan keadilan dalam negara ini.

Beliau yang menceritakan semula rentetan peristiwa sejak 1998 dulu yang banyak menguji perasaan hatinya.

Menurutnya, selepas Anwar bebas, beliau terus berkempen dengan semua sahabat seperjuangan sehingga Pakatan menang besar pada Mac 2008.

"Sekarang Kak Wan rasa cukup kuat, berapa lama dah, cukuplah, sudahlah...," ujarnya lagi.

Sementara itu, Cikgu Bard berkata, pengundi Negeri Sembilan perlu berubah untuk membolehkan seluruh rakyat mendapat nikmat hidup lebih selesa di bawah pentadbiran Pakatan nanti.HarakahDaily


Ulasan