PKR gesa polis siasat dakwaan Umno guna warga asing pengundi

TERKINI @ 02:55:40 PM 11-05-2011
May 11, 2011
Zuraida (tengah) memegang salinan laporan polis di luar stesen polis di Bukit Sentosa hari ini. — Gambar oleh Choo Choy May
HULU SELANGOR, 11 Mei — PKR mempertahankan dakwaan bahawa Umno Hulu Selangor ada memohon kelulusan menukar taraf pemastautin tetap membabitkan kira-kira 2,000 rakyat asing bagi membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Pengerusi PKR Selangor Zuraida Kamaruddin menggesa polis menyiasat dakwaan terhadap Umno Hulu Selangor dan mengesahkan ketulenan surat yang diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri.

“Surat itu ada di sini, bukti.

“Biar polis siasat, saya tidak tahu jika surat ini palsu... (tapi) ia datang dari sumber yang boleh dipercayai... pejabat kerajaan,” katanya.

Umno Hulu Selangor berkata surat itu bukan daripada Umno bahagian itu kerana tandatangan ketua Umno Datuk Mohamed Idris Abu Bakar salah dan ejaan nama juga tidak betul.

“Kami minta polis siasat sama ada wujud sindiket yang memberikan kad pengenalan dan kelayakan pemastautin kepada warga asing untuk digunakan bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum ke-13,” kata ahli majlis pimpinan PKR pusat Khalid Jaafar yang turut bersama Zuraida.

Terdahulu beliau membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Sentosa.

Dalam laporan polis itu, beliau mendesak polis menyiasat Idris dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein kerana menyalah guna kuasa.

Khalid juga merujuk kepada usaha sama yang dilakukan dalam “Projek IC” di Sabah, di mana pendatang asing tanpa izin diberikan kad pengenalan rakyat Malaysia.TheMalaysiaInsider


Ulasan