RM 63.9 Juta Untuk Khidmat Rundingan ETP Dipertikai


SHAH ALAM 16 JUN : Tindakan Umno-Barisan Nasional membelanjakan sejumlah RM63.9 juta untuk khidmat perunding dalam usaha mempromosi rancangan induk kerajaan seperti pelan Transformasi Kerajaan/ Ekonomi (G/ETP) dipersoalkan pemimpin Pakatan Rakyat.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution berkata, jumlah yang didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon itu semalam, terlalu tinggi untuk dibelanjakan sungguhpun kerajaan mempunyai lebihan dana.

Namun, dalam keadaan Barisan Nasional terpaksa membentangkan permohonan peruntukan tambahan sebanyak RM13 bilion pada sidang kali ini, jumlah itu adalah satu bentuk pembaziran yang tidak boleh dimaafkan.

Malah katanya, jumlah RM63.9 juta ini hampir sama dengan peruntukan bagi membiayai pengumuman Barisan Nasional untuk menaikkan gaji segelintir guru besar dan pentadbir sekolah sebagai tindakbalas kepada janji Pakatan Rakyat memberikan imbuhan RM500 sebulan kepada setiap guru seperti terkandung di dalam Buku Jingga.

“Peruntukan bagi kenaikan gaji guru-guru besar hanyalah RM80 juta setahun, berbanding RM63.9 juta yang dibelanjakan kepada beberapa firma perunding sahaja,” kata Saifuddin dalam kenyataan medianya, hari ini.

Saifuddin yang juga ahli parlimen Machang itu berkata, kegilaan untuk berbelanja besar bagi menggaji perunding tersebut, melambangkan sikap BN yang tidak menghargai sumbangan penjawat awam dantidak berkeyakinan dengan kebolehan pimpinan sektor awam menambahbaik sistem pentadbiran sedia ada.

Katanya, keputusan utama membabitkan perkhidmatan awam kini bergantung kepada maklumbalas dan cadangan perunding, sedangkan pengalaman dan kefahaman pimpinan sektor awam lebih mendalam mengenai selok-belok budaya dan motivasi penjawat awam.

“Kaedah yang diambil oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak ini akan membantutkan usaha menaiktaraf mutu dan kecekapan perkhidmatan awam negara,” tambahnya.TVSNEWS

Ulasan