Kaji semula biometrik: Mafrel


SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengkaji semula keberkesanan sistem biometrik yang dijangka akan digunakan pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Badan Pemantau Pilihan Raya Adil dan Bebas (Mafrel), Syed Ibrahim Syed Noh berkata, sistem tersebut memerlukan semakan sama ada pelaksanaannya berkesan atau sebaliknya.

“Pelaksanaan sistem ini memerlukan kesahihan dan ketelusan bagi memastikan keberkesanannya dapat digunakan pada pilihan raya.

“Saya yakin sistem ini tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat terutama pada pilihan raya umum akan datang kerana perlu melalui pelbagai proses termasuk penjelasan kepada parti politik dan pihak berkaitan,” katanya,

Beliau berkata, sistem semakan perlu dilaksanakan bagi mendapatkan sokongan yang adil oleh setiap pihak untuk mengelakkan pertikaian dan keraguan berbangkit kelak.

“Kos biometrik jauh lebih tinggi daripada dakwat kekal termasuk kemampuan SPR menyediakannya di semua pusat pengundian.

“Saya juga difahamkan setakat ini masih tiada negara yang menggunakan biometrik dalam pilihan raya,” katanya.

Katanya, SPR perlu berbalik kepada objektif pelaksanaan sistem tersebut yang kelihatan masih samar-samar dalam penambahbaikan sebagai badan yang bertanggungjawab dalam pilihan raya.

“Penggunaan dakwat kekal adalah lebih efektif yang terbukti berkesan oleh negara India dan Bangladesh.

“SPR perlu mengkaji semula pengenalan sistem ini sama ada ia dapat menghilangkan keraguan orang ramai dan kredibiliti badan itu,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchevlan berkata, SPR melaksanakan sistem tersebut kerana tekanan dan bantahan beberapa pihak terhadap badan itu.

“Pelaksanaan ini sengaja diada-adakan untuk menunjukkan seolah-olah SPR sedang melakukan pembaharuan dalam pilihan raya negara ini,” katanya.SinarHarian

Ulasan