Malaysia Jumpa Singapura - Kelayakan Piala Dunia

Singapura! Kami datang...

PENANTIAN 34 tahun pasukan bola sepak kebangsaan untuk mara ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia dileraikan apabila berjaya menamatkan cabaran Chinese Taipei pada aksi pusingan pertama perlawanan kedua di Stadium Majlis Perbandaran Taipei, malam tadi.

Walaupun Malaysia tewas 2-3 kepada pasukan tuan rumah dan berkongsi kedudukan agregat 4-4, namun tetap mara ke pusingan kedua berdasarkan peraturan jaringan tempat lawan.

Dua jaringan set piece, bertaraf dunia menerusi Aidil Zafuan pada minit ke-8 dan kapten pasukan, Safiq Rahim di minit ke-39 melegakan Datuk K Rajagobal walaupun Chang Han, Chen Po Liang dan Chen Xavier membalasnya pada setiap babak permainan.

Seawal lima minit pertama, skuad negara diasak bertubi-tubi menerusi beberapa percubaan pemain Chinese Taipei yang hampir menghasilkan jaringan, namun kecekapan penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli menyelamatkan pintu gawang negara daripada dibolosi.

Bagaimanapun, anak didik Rajagobal terlebih dahulu memecah kebuntuan jaringan apabila sepakan percuma jarak jauh Aildil Zafuan berjaya menggegar jaring skuad pimpinan Lo Chih Tsung.

Gol pertama itu menambah keyakinan pemain negara dan mereka mula menyusun rentak serta melancarkan serangan yang nyaris membuahkan hasil.

Penyerang, Norshahrul Idlan Talaha sepatutnya menggandakan jaringan pada minit ke-30 namun tendangannya sekadar melewati palang gol pasukan Asia Timur itu.

Kelekaan benteng negara mengundang padah apabila Chang Han menyamakan kedudukan pada m-31 selepas berlaku situasi kelam kabut dalam kawasan kotak penalti.

Namun, minit ke -39 Safiq Rahim bingkas menceriakan kem negara apabila meledak gol kedua Malaysia menerusi sepakan set piece menarik memperdayakan penjaga gawang, Lin Po Cheng.

Kedudukan itu tidak kekal lama apabila Chen Po Liang menggamatkan stadium hasil sepakan penalti pada minit akhir babak pertama, selepas Mahali Jasuli menjatuhkan pemain lawan dalam kotak penalti.

Bermula babak kedua, Chinese Taipei melakukan beberapa pertukaran dan mengeluarkan Po Cheng dan memasukkan Wei Sheng Hsin.

Tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti minit ke-61, namun rembatan Po Liang di tampan Sharbinee sekali gus memberikan tekanan buat anak didik Chih Tsung.

Pemain tengah, Amirulhadi Zainal hampir mencatat nama selaku penjaring gol, tetapi percubaan beliau ditepis Sheng Hsin pada minit ke-63.

Kesilapan Sharbinee menolak pemain lawan mengakibatkan pengadil perlawanan, Ming Tri Vo menghadiahkan tendangan penalti dan Xavier Chen mudah menolak masuk gol ketiga Chinese Taipei.

Menyedari tempat ke pusingan kedua sudah terjamin walaupun ketinggalan tiga gol, pasukan negara mula mengendurkan asakan dan sesekali melancarkan serangan balas mengejut.

Norshahrul terlepas peluang mengikat kedudukan di Taiwan pada minit akhir perlawanan apabila rembatan kencangnya dalam kotak penalti sekadar singgah ke palang gol lawan.

Pasukan kebangsaan bakal bertemu Singapura pada 23 Julai sebelum perlawanan timbal balik di Bukit Jalil.SinarHarian

Ulasan