Persaingan Melayu untungkan rakyat

Sejurus selepas pilihan raya 2008, agenda perpaduan Melayu tiba-tiba muncul dari mulut ahli-ahli politik dan NGO Melayu seluruh Malaysia.

Kalimah perpaduan Melayu menjadi siulan banyak ahli-ahli politik, terutamanya dari parti yang memerintah.

NONEMalahan, Jun tahun lalu, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan (kiri) dilaporkan berkata:

"Usaha-usaha pertemuan dan perbincangan bersama antara Umno dan PAS harus diteruskan. Pandangan-pandangan manusia boleh berubah, apabila kita 'cop' seseorang itu, tidak selamanya dia begitu. Mungkin Mat Sabu baik, itu saya tak tahulah," ujarnya mengulas kemenangan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Ahmad diminta mengulas kemungkinan pintu rundingan kedua-dua parti itu yang gagal sejak zaman Nasharuddin Mat Isa menjadi timbalan presiden PAS.

Persoalan yang timbul sekarang, benarkah Melayu berpecah? Sepanjang wujudnya Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan, PAS dan Umno sering berada di pihak yang berbeza.

Dari pilihan raya pertama lagi, PAS sudah bertanding melawan Umno. Ada calon Umno yang dikalahkan PAS. Malah, nama besar seperti bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas speaker Dewan Rakyat Tun Zahir Ismail juga pernah menerima nasib itu.

Pendek kata, di mana Umno meletakkan calon, di situ ada calon PAS yang melawan. Jarang kita dengar Umno melawan calon parti lain. PAS lawan tradisi Umno. Justeru, yang menang sama ada PAS atau Umno.

PAS-Umno sentiasa berlawan

Dengan kata lain, selama mana wujud demokrasi di Malaysia, PAS akan berlawan dengan Umno. Hanya selepas 2008 sahaja isu perpaduan Melayu bermain di bibir politikus, terutamanya dari parti pemerintah.

Bagi saya, perpecahan bukanlah perkataan yang tepat bagi menerangkan fenomena PAS dan Umno dalam konteks pilihan raya Malaysia. Bagi saya, perbezaan PAS dengan Umno adalah satu persaingan, bukannya pepercahan.

umno pasJusteru, tidak wujud perpecahan Melayu. Oleh itu, perpaduan Melayu juga tidak perlu dibangkitkan.

Mari kita ambil misal sebuah pejabat. Antara semua pekerja dalam pejabat itu, terdapat seorang pekerja yang malas, tidak produktif dan sering datang lambat.

Adakah kita patut mengekalkannya sebagai pekerja ataupun memecat pekerja tersebut? Sudah tentu dia patut dipecat.

Soalan saya lagi: Sekiranya pekerja itu seorang berbangsa Melayu, patutkah beliau dipecat? Adakah kita memecat Melayu itu bermakna kita menentang perpaduan Melayu?

Hujah saya, perpaduan tidak harus menjadi alasan untuk membiarkan kebobrokan berterusan.

Alasan perpaduan tidak harus dijadikan alasan untuk mengekalkan orang yang korup, pemakan rasuah, penyalahguna kuasa, pemeras, pembohong dan mereka yang mempermainkan agama.

Perpaduan seharusnya tidak menjadi penghalang kepada proses pembersihan kepimpinan bangsa Melayu dari mereka yang korup dan rasuah. Jikalau tidak, perpaduan tersebut bukanlah perpaduan tetapi satu bentuk penipuan.

Setelah lebih 50 tahun berlawan, saya tidak nampak mana-mana bangsa Melayu rugi. Malahan, saya melihat bangsa Melayu mendapat mendapat keuntungan yang banyak dari persaingan antara PAS dan Umno ini.

Susah saya hendak melihat kerugian kepada bangsa Melayu yang terhasil akibat dari persaingan ini.

Perpaduan untuk kalahkan DAP

Kalau kita perhatikan retorik yang dilayangkan selepas 2008, tidak nampak sebab yang jelas mengapa PAS dan Umno mesti bersatu. Adakah penyatuan PAS dan Umno akan menjamin pentadbiran negara yang bersih dari rasuah?

Adakah penyatuan itu akan menaikkan taraf ekonomi Melayu? Adakah penyatuan ini akan menaikkan pegangan ekuiti Melayu? Adakah penyatuan akan menaikkan bilangan perniagaan yang dipunyai Melayu? Dan banyak lagi soalan-soalan praktikal seperti ini tidak dijawab dan tidak dihuraikan oleh promoter agenda ini, selepas 2008.

NONEAtas sebab itulah panggilan perpaduan Melayu ini hanya retorik kosong semata-mata. Ia tiada isi dan tiada asas yang kukuh.

Mungkin Ahmad mempunyai asas yang jauh lebih kukuh apabila beliau berkata penolakan agenda perpaduan adalah memenangkan DAP dan Karpal Singh (kiri). Ertinya, Ahmad mahukan perpaduan PAS-Umno untuk mengalahkan DAP dan Karpal.

Seluruh bangsa Melayu di Malaysia tidak jelas siapa sebenarnya yang akan untung dari perpaduan PAS dgn Umno? Adakah bangsa Melayu itu sendiri yang beruntung ataupun hanya beberapa kerat kepimpinan dari kedua-dua parti yang mendapat laba? Persoalan ini tidak jelas dan tidak pernah dijawab.

Sekiranya Umno menyimpang dan tidak mampu menjalankan tugas memimpin orang Melayu, maka PAS boleh menggantikannya. Begitu juga sebaliknya.

Mengapa orang Melayu perlu terus mengekalkan kepimpinan atau parti yang sama walaupun parti tersebut telah rosak dan bobrok.

Kelebihan persaingan

Kalau kedua-dua PAS menjadi rosak, sesiapa juga boleh menubuhkan parti baru dan menggantikan kedua-dua parti tersebut.

Yang utama adalah kepimpinan orang Melayu itu mestilah adil, berilmu, berkemampuan, berkelayakan, bersih, bijaksana, beragama dan amanah.

Hari ini kita mula melihat kelebihan persaingan antara parti-parti Melayu.

NONEJumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat kenyataan berikut:

"Mereka (Pakatan) beri RM100 riuh sekampung. Kita sudah beri berbilion ringgit pada rakyat. Cuma pihak sebelah sana pukul gendang lebih kuat saja," katanya.

Najib merujuk kepada program kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang yang memberi wang kepada warga emas dan mereka yang miskin.

Ia menunjukkan persaingan sedang wujud antara kedua-dua parti utama di Malaysia. Yang untung dari persaingan ini adalah rakyat Malaysia.

Atas dasar inilah, saya berpendapat perpaduan Melayu hanya merugikan orang Melayu itu sendiri. Yang untung hanyalah beberapa kerat pemimpin parti-parti politik sahaja.


Abdul Rahman Abdul Talib merupakan pengelola blog politik terkenal Malaysia Waves. Beliau belatarbelakangkan bidang kejuruteraan, tetapi meminati politik semenjak di bangku sekolah. Beliau percaya, menilai politik dari sudut empirikal lebih utama dari ideologi semata-mata. Abdul Rahman boleh dihubungi di cabearth3@yahoo.com.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Ulasan