Kerajaan negeri kesal serbuan, minta Jais sedia laporan

KUALA LUMPUR, 4 Ogos — Kerajaan negeri Selangor memandang serius tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan polis menyerbu satu majlis makan malam muhibbah yang diadakan di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya, malam tadi.

Sehubungan itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata beliau secara peribadi telah menghubungi Pastor Daniel Ho dan menyatakan kekesalan pihak kerajaan negeri berhubung insiden tersebut.

“Saya memberitahu beliau bahawa saya telah minta Jais menyediakan laporan penuh mengenai insiden ini, termasuk sebab-sebab terperinci serbuan tersebut dilakukan.

“Saya berharap dapat berjumpa dengan Pastor Daniel Ho sebaik sahaja laporan lengkap ini diterima,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.

Sehubungan itu, Khalid menegaskan, kerajaan Selangor selalu menghormati kebebasan beragama dan hak semua pihak untuk meraikan kebudayaan dan kepercayaan mereka.

Beliau juga mengulangi bahawa kerajaan negeri sentiasa terbuka kepada perbincangan dan dialog mengenai keharmonian dan toleransi di kalangan rakyat yang pelbagai agama serta amat menghargai usaha-usaha meningkatkan kefahaman antara agama sekali gus menyatupadukan rakyat.

Terdahulu, Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) kecewa dan terkejut dengan tindakan Jais dan polis menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama ekoran satu aduan tidak spesifik.

“Sejak kebelakangan ini, kita telah menyaksikan peningkatan insiden di mana orang Kristian menjadi sasaran kepada tuduhan-tuduhan tidak berasas dan prejudis pelbagai kumpulan serta beberapa media arus utama yang membuat kenyataan-kenyataan berbaur menghasut, yang bercanggah dengan semangat 1 Malaysia,” kata Pengerusi CFM Biskop Datuk Ng Moon Hing.

Kata Ng, pihaknya berharap pihak berkuasa dan juga Sultan Selangor akan perkenan mengarahkan satu siasatan yang menyeluruh berhubung serbuan tidak berasas malam tadi.

Ho berkata, kira-kria 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis gereja itu tanpa waran kira-kira 10 malam.

Majlis itu dihadiri antara 100 hingga 120 orang dari pelbagai kaum.

“Ini adalah majlis makan malam bagi orang ramai datang atas semangat 1 Malaysia. Kebanyakannya beragama Kristian... ada juga (hadirin), kira-kira 15 orang Melayu,” katanya lagi.

Pihak berkuasa berkenaan menyoal siasat hadirin tetapi tiada sesiapa pun yang ditahan.TheMalaysiaInsider

Ulasan