Landasan Perjuangan Saya Ialah Islam-Mat Sabu

GOMBAK 11 SEPT : Tidak ada yang harus diragui kerana pegangan dan perjuangannya sejak kecil berteraskan Islam, sementara ceritera bahawa beliau menyokong komunis pula hanya ditimbulkan oleh akhbar yang semakin hilang kredibilitinya seperti Utusan Malaysia.

Oleh itu kata timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu, tidak ada apa yang perlu dikhuatirkan kerana tidak ada apa yang pernah berubah seperti yang didakwa oleh media milik Umno-Barisan Nasional itu.

"Saya memilih perjuangan atas dasar Islam. Masa remaja dulu saya pilih Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia). Kemudian tahun 1978 saya sertai perjuangan parti Islam (PAS), sokong perjuangan ulama.

"Sepanjang saya berpidato idola saya adalah Syed Qutb, Imam Hasan Al-Banna, Jamaludin Al-Afghani, dan ulama-ulama lain.

"Tiba-tiba saya dituduh komunis, tak sedih ke tuan-tuan? Jahat sungguh," katanya dalam ceramah di Dewan Kolej Universiti Islam Dr Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar malam tadi.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 1,000 hadirin.

Turut menyampaikan ceramah malam tadi ialah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu, tuduhan seumpama itu bukanlah sesuatu yang baru kerana ia berlaku pada zaman penjajah lagi.

Mengulas lanjut, pada zaman itu katanya, golongan ulama dan golongan kiri ditangkap dan dibunuh.

"Saya sangat cintakan tanah air Malaysia, tempat tumpah darah kita.

"(Tuduhan) ini sama seperti dituduh terhadap pejuang-pejuang sebelum ini oleh penjajah dan sekarang Umno mewarisinya," tegasnya lagi.

Beliau juga dilaporkan akan mengemukakan saman ke atas Utusan Malaysia esok berhubung laporan akhbar itu mengenai ceramahnya yang menyentuh tentang tragedi Bukit Kepong.

Mat Sabu dalam satu ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang pad 21 Ogos lalu mendakwa Ahmad Indera yang menyerang polis British di Rumah Pasung Bukit Kepong adalah hero sebenar dan bukannya polis tersebut.

Seminggu selepas itu, Utusan Malaysia dalam laporan 27 Ogos melaporkan kenyataan Mat Sabu sebagai berkata pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah sebagai hero sebenar.

Beliau yang tidak pernah mengaitkan komunis dalam isu itu kemudiannya menafikan perkara itu dan menganggap laporan akhbar Umno itu sebagai fitnah terhadapnya dan PAS.

Lantaran itulah beliau dibidas serta dikecam hebat pelbagai pihak sehingga ada yang menuduhnya sebagai komunis.

"Saya berucap 21 haribulan, Utusan siar 27 haribulan seminggu selepas itu.

"Itu bukan berita, itu dah jadi sejarah. Kalau berita, berlaku hari ini keluarnya esok," sindirnya terhadap tindakan Utusan itu.TVSNEWS

Ulasan