Mat Sabu akui tekanan terhadapnya kerana PRU-13

KOTA BHARU – Kecaman demi kecaman dilalui Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu selepas mencetuskan kontroversi isu Bukit Kepong diakui dilakukan bagi menutup kepincangan kepimpinan negara, berikutan tarikh Pilihan Raya Umum 13 semakin hampir.

Perkara itu diakui beliau apabila pelbagai tohmahan, kecaman dan ugutan diterima sehingga membahayakan dirinya dan keluarga berikutan kenyataannya mempertikaikan fakta sejarah negara.

“Ya memang ia tekanan apabila PRU-13 semakin hampir. kerajaan hendak lari daripada masalah penipuan dalam PRU khasnya, tuntutan Bersih dan daftar pemilih.

“Isu ini dibangkitkan untuk menutup kepincangan negara,” katanya selesai Forum Rakyat bertajuk “Kajian Semula Sejarah Perjuangan Kemerdekaan Negara” di dataran Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, kelmarin.

Beliau muncul sebagai panel, yang menjadi medan, menjawab pelbagai persoalan timbul hasil cetusan ideanya, supaya sejarah negara dikaji semula bersama ahli akademik dan pakar sejarah.

Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat manakala bekas Ketua Pemuda Umno Ketereh, Mohd Soberi Shafii dipilih sebagai moderator menggantikan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah.

Sementara itu, ketika menjawab soalan peserta forum, bagaimana timbul idea membangkitkan fakta baru sejarah pejuang kemerdekaan negara sehingga mencetuskan kontroversi, beliau berkata, jangan takut untuk membaca pelbagai jenis buku kerana melaluinya banyak pengetahuan baru diperolehi.

“Saya baca banyak buku. Tulisan Salman Rushdie, Tun Mahathir Mohamed, Chin Peng, Lim Kwan Yew dan Shamsiah Fakeh. Kutip maklumat dan pertimbangkan dengan akal yang waras. Melaluinya kita dapati kadang-kadang seseorang itu betul-betul komunis atau ia sekadar tuduhan.

“Melalui pembacaan ini juga persoalan timbul sama ada mereka ini betul komunis atau dituduh komunis atau menganuti komunis untuk menuntut kemerdekaan. Ini ahli sejarah perlu kaji,” katanya.SinarHarian

Ulasan