Segera laksana kebebasan akhbar - Mat Sabu

MARAN - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mengi-ngatkan kerajaan supaya segera melaksanakan konsep kebebasan akhbar di negara ini.

“Sekarang, kita tunggu sahaja apa undang-undang baru yang nak gantikan ISA. Jika mahu beri kebebasan kepada akhbar, lakukan terus dan jangan tunggu lagi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Bangunan Pas kawasan Maran di sini, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi perutusan khas sempena Hari Malaysia Khamis lalu menyatakan antara komitmen kerajaan ialah akan memansuhkan pembaharuan tahunan bagi permit pencetakan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Selain itu, beliau juga mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), satu perisytiharan mengejutkan banyak pihak yang tidak sama sekali menyangka kerajaan akan ‘berani’ mengambil tindakan demikian.

Dalam ucapannya, Mat Sabu turut mendakwa kerajaan cuba menonjolkan isu komunis bagi meraih undi penduduk luar bandar menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kerana Barisan Nasional (BN) tidak lagi mendapat sokongan.

Menurutnya, keputusan PRU lalu membuktikan bahawa kemenangan BN diperoleh daripada pengundi luar bandar yang secara umumnya masih bergantung kepada media pro-kerajaan untuk mendapatkan maklumat tentang isu semasa.

Menurutnya, isu komunis digunakan BN bagi membangkitkan kemarahan dan rasa benci orang ramai terutama orang Melayu terhadap Pas.

Mat Sabu yang pernah ditahan sebanyak dua kali bawah ISA berkata, kenyataan beliau dalam ceramah di Pulau Pinang mengenai isu tersebut disalahertikan kerana Pas tidak menghina sesiapa termasuk pasukan polis dan bekas tentera.SinarHarian

Ulasan