Yang di-Pertuan Agong Tegur Semua Majlis Agama Islam

Perkemas institusi agama

KUALA LUMPUR - Semua Majlis Agama Islam perlu melaksanakan fasa transformasi secara holistik, komprehensif dan bersepadu bagi meneruskan kecemerlangan sistem penyampaian perkhidmatannya, titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

“Namun dalam misi memacu transformasi pengurusan Islam seiring dengan pengurusan organisasi yang lain, kita perlu memastikan institusi agama berada di landasan yang kukuh, ­mantap dan berkesan,” titah Seri Paduka pada perasmian Kongres Majlis Agama Islam Negeri-negeri Seluruh Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Tuanku Mizan bertitah, usaha memperkemas jentera organisasi dan tadbir urus institusi agama perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa.

“Sumber yang mapan, struktur organisasi yang kemas, kewibawaan modal insan dan kebijaksanaan memaksimumkan potensi yang ada merupakan antara faktor penting penentu kecemerlangan Majlis Agama Islam yang perlu diperkasa,” titah Seri Paduka.

Tuanku Mizan turut menarik perhatian bahawa pelaburan di bidang pendidikan perlu ditingkatkan bagi memastikan masyarakat Islam tidak terus ketinggalan.

Menurut Seri Paduka lagi, peranan Lembaga Penye­larasan Pelajaran dan Pendidikan Islam (Lepai) akan terus diperkukuh bersama Majlis Agama Islam Negeri demi kepentingan pendidikan agama Islam di negara ini.

“Peranan dan kuasa Lepai yang diletakkan di bawah Majlis Raja-Raja perlu diberi penjelasan semula kepada agensi-agensi berkaitan di bidang pendidikan supaya pendidikan agama dapat dilaksanakan dengan teratur dan sempurna,” titah Tuanku Mizan.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, usaha perlu dibuat untuk meningkatkan fungsi zakat dan sedekah jariah ­sebagai jentera penggerak sosioekonomi umat Islam.

Kongres dua hari anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri itu dijangka merangka strategi dalam menangani suasana globalisasi serta perkembangan teknologi maklumat.

Sebanyak tiga kertas kerja berhubung peranan Majlis Agama Islam Negeri dalam memacu pendidikan, membangun sosioekonomi dan memperkasa undang-undang syariah akan dibentangkan pada kongres yang dihadiri 1,000 peserta itu. - Bernama

Ulasan