Berita Bolasepak Piala Malaysia..

Penyu mahu pulang gembira

PADA peringkat ini, Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti membuktikan Sang Penyu berada dalam kelasnya tersendiri, apabila berjaya keluar daripada bayangan Kelantan sebagai kuasa baru bola sepak Pantai Timur apatah lagi berjaya menyingkirkan juara Liga Super itu pada saingan akhir Piala FA 2011 dan suku akhir Piala Malaysia.

Malam ini, anak buah Irfan Bakti akan turun ke Stadium Shah Alam dengan misi untuk mengutip bekalan selesa sebagai persediaan menghadapi perlawanan kedua di Kuala Terengganu pada 22 Oktober ini.

Kekuatan Terengganu sepanjang saingan kempen ini terletak kepada keupayaan setiap pemain melaksanakan arahan diberikan jurulatih pakar strategi taktikal berkenaan.

Bahagian serangan diterajui Penjaring Terbanyak Liga Super dengan 16 gol, Abdul Hadi Yahya masih terbukti berbisa dibantu dua lagi peledak Ashaari Shamsuddin dan Manaf Mamat tentunya akan menjadi duri dalam daging benteng pertahan Selangor.

Kelincahan Ismail Faruqi Ashari, Shafuan Adli Shaari di bahagian sayap dibantu penggerak tengah Joseph Kalang pada perlawanan sebelum ini nyata terbukti

Bahagian pertahanan, kombinasi Helmi Remeli, Mohd Zubir Mohd Azmi, Ronny Harun dan kemudi Mohd Marzuki Yusof setakat ini menjadi kubu paling ampuh.

Pengalaman dan ketenangan Mohd Sharbinee Allawee Ramli menjadi sandaran terakhir skuad putih hitam berkenaan.

Jika tiga bahagian Peteh Ganu Peteh konsisten seperti semasa menumbangkan The Red Warriors pada suku akhir pertama pastinya Penyu akan pulang ke Terengganu bersorak gembira.

T-Team enggan toleh belakang

SELEPAS menumbangkan Sabah pada saingan suku akhir lalu, T-Team enggan menoleh ke belakang dan bertekad melangkah sehingga ke pentas akhir Piala Malaysia.

Kehadiran nama besar seperti Indra Putra Mahayuddin, Nor Farhan Mohammad, Azizi Mat Rose dan Zairo Anuar Zailani sedikit sebanyak membantu kelab dari Terengganu itu berada dalam kelompok empat pasukan terbaik.

Berdasarkan rekod dalam kempen kali ini, T-Team antara pasukan terbanyak menjaringkan gol dengan meledak 19 gol setakat ini.

Yunus Alif pastinya tidak rela melihat anak buahnya dikecewakan oleh Negeri Sembilan di laman sendiri sekali gus menyukarkan impian mencipta sejarah mara ke final kali ini...SinarHarian

Ulasan