PAS Mampu Selamatkan Melayu Islam

KUALA LUMPUR 14 OKT : Pas mampu mengantikan Umno dan berkhimat untuk komuniti Melayu, kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Idris Ahmad.

Idris berkata demikian apabila menyangkal kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed yang Melayu akan hilang kuasa dalam sepuluh tahun lagi.

Kenyataan Dr Mahathir disifatkan sebagai talian hayat baru supaya orang Melayu terus menyokong Umno, ketika parti itu tidak popular di kalangan generasi muda yang celik maklumat.

"Beliau sedang menyaksikan parti yang pernah beliau pimpin hampir 22 tahun mengalami muflis sokongan," kata Idris di portal berita Pas, Harakahdaily.

Menurutnya, Umno bukan lagi parti keramat orang Melayu, tetapi hanya parti untuk menjadi pangkalan sementara bagi membolot kekayaan peribadi.

Oleh itu, katanya PAS perlu mengganti Umno demi kelangsungan perjuangan agama, bangsa dan negara.

PAS, tambah beliau, terbukti dan teruji kerana mampu mentadbir dengan baik negeri yang mewakili majoriti Melayu di Kelantan sejak 1990.

Jelasnya lagi, PAS yang menerajui Kelantan berjaya melunaskan hutang kepada kerajaan pusat sebanyak RM220 juta setakat 2010 sedangkan hutang yang ditinggal oleh Umno pada tahun 1990 sebanyak RM718 juta.

TVSNEWS


Ulasan