PKR sandarkan kepada pemimpin muda untuk memenangi PRU 13 - Datuk Saifuddin Nasution Ismail

Saifuddin Nasution berkata Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengiktiraf kepetingan undi golongan muda dan akan menggunakan anak-anak muda untuk mengepalai beberapa jentera parti tersebut untuk memenangi PRU 13. — Gambar fail
PETALING JAYA, 17 Dis — Pemimpin muda akan disenaraikan sekurang-kurangnya 35 peratus daripada senarai calon PKR bagi pilihan raya umum (PRU) akan datang sebagai langkah agresif parti tersebut untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN) dalam perlawanan penting merebut undi golongan muda, kata setiausaha agung Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Dengan PRU 13 perlu diadakan selewat-lewatnya Jun depan, tumpuan kepada demografi ini semakin meningkat, yang dikatakan berjumlah 60 peratus daripada 13 juta pengundi.
Dalam temuramah eksklusif bersama The Malaysian Insider, Saifuddin memberitahu parti tersebut mengiktiraf kepentingan undi golongan muda dan bakal meletakkan calon dari sektor tersebut paling ramai berbanding rakan Pakatan Rakyat (PR) PAS dan DAP dalam pilihan raya akan datang.
“Atas sebab yang paling mudah, satu sebabnya kerana 20 peratus daripada 12.9 juta pemilih yang akan mengundi pada pilihan raya kali ini adalah merupakan pengundi baru, first timer (pengundi kali pertama) yang pertama kali akan tengok kertas undi.

“Tapi kalau kita ambik cut-off 35 tahun ke bawah, peratusan tu jauh lebih besar, jadi yang boleh memahami citarasa anak muda, kehendak golongan muda, sudah tentulah parti Keadilan kena respon kepada perubahan ini,” kata Saifuddin.
Ahli parlimen Machang itu menjelaskan, PKR sudah mula membariskan kepimpinan muda sebagai calon pilihan raya semenjak pilihan raya 2008 lagi.

Ramai daripada kepimpinan muda ini sudah berada di arus perdana, tambah beliau.
“Misalnya, Nurul Izzah (Anwar), Yusmadi (Yusoff), Amiruddin Shari, Suhaimi (Shafie), Gan Pei Nei, Chang Lih Kang, Chan Ming Kai, S Kesavan, ini menyebut beberapa lama.
“Yang sedang menunggu giliran ini termasuklah saudara Rafizi (Ramli), Shamsul Iskandar dan ramai lagi,” tambah beliau.

Kata beliau PKR, adalah sebuah parti yang sangat akomodatif, menawarkan peluang sama rata kepada setiap segmen komuniti dan kumpulan umur yang ada dalam parti tersebut.
“Sama ada ianya NGO, student leader (pemimpin mahasiswa), pimpinan muda, profesional, pemimpin akar umbi, pesara kerajaan, ini semua selain daripada pemegang jawatan dalam parti, pilihan raya kali ini kami akan menampilkan calon-calon yang dianggap mewakili seluruh segmen masyarakat ini,” terang Saifuddin.

Selain diletakkan sebagai calon, PKR juga akan menggunakan anak-anak muda untuk mengepalai beberapa jentera parti tersebut untuk memenangi PRU 13 sepertimana dilakukan parti AK di Turki yang meletakkan anak-anak muda untuk mengetuai jentera strategik dan media baru untuk memantapkan lagi penguasaan di internet.

“Dan dalam engagement saya dengan mereka (parti AK) itu, saya dapati juga keadaan itu boleh kita apply (laksanakan) dalam konteks Malaysia kerana anak muda ini, dia tidak berminat lagi dengan media tradisi ini, bahkan media parti pun dia dah tak berapa minat dah.
Sebagai respon kepada ini, parti Keadilan juga merekrut aktivis anak muda khusus untuk menangani kempen media baru ini sahaja.

“Masih di bawah saudara Nik Nazmi (Nik Ahmad), tetapi rekrut baru yang kita buat termasuk saudara Praba Ganesan, Sim (Tze Tzin) dan ada lagi beberapa recruitment terus kepada pejabat Ketua Pembangkang.

“Beberapa aktivis mahasiswa yang diberikan tugas khusus untuk kendalikan ahl ehwal yang berkaitan dengan kempen parti dalam menggunakan instrumen media baru,” katanya.
Perlumbaan untuk golongan muda dan undi golongan pertengahan dijangka sengit diantara BN yang memerintah dan pembangkang persekutuan oleh kerana lebih 80 peratus daripada 29 juta penduduk Malaysia adalah 45 tahun dan ke bawah manakala sekurang-kurangnya separuh daripadanya berusia di bawah 25 tahun.

Datuk Seri Najib Razak mempersiapkan tenteranya dalam BN dan semasa perhimpunan agung Umno bulan lepas, perdana menteri menghantar satu mesej yang jelas kepada ahli-ahli parti untuk menangani demografi utama ini bagi menjamin penguasaan mereka ke atas Putrajaya.
Dalam ucapan perasmian beliau di perhimpunan itu, presiden Umno mengetuai beribu-ribu ahli berikrar untuk melakukan segala-galanya dengan kuasa yang mereka ada untuk memenangi hati dan minda rakyat Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa pengundi hari ini adalah jauh lebih muda daripada sebelum ini, dan bijak “kerana dapat membezakan antara apa yang sebenar dan apa yang tidak”.
Pengerusi BN juga memberi amaran kepada pemimpin-pemimpin parti secara tertutup agar tidak terlalu bergantung kepada pengundi luar bandar, pengundi etnik Melayu dan bergerak ke golongan pertengahan, memberi amaran mereka boleh mengulangi calon presiden Amerika Syarikat Mitt Romney jika mereka berhenti di atas kejayaan.

Beberapa hari kebelakangan ini, DAP sekutu PKR telah juga menghantar mesej yang sama kepada ahli-ahlinya.
Dalam artikel untuk The New York Times / International Herald Tribune Sabtu lepas, Najib menggesa negara-negara Islam agar memahami dengan baik kehendak golongan muda dengan cara mengambil tahu dan mengerti perubahan demografi dan teknologi yang menyelubungi dan menjejaskan kehidupan mereka.

Beliau berkata dunia Islam sedang mengalami “kebanjiran golongan muda”. Pada 2010, golongan di bawah umur 30 adalah kira-kira 60 peratus populasi di negara-negara yang majoriti penduduknya Islam kata Najib dalam artikel beliau bertajuk ‘The Challenge of Muslim Youth’ (Cabaran Belia Islam).
“Kebanjiran golongan belia telah memperkenalkan tenaga pendam kepada ekonomi dan masyarakat sesebuah negara. Jika dibiarkan, ia boleh menjadi tenaga penyahstabilan.”
Najib berkata dunia hari ini banyak berbeza daripada 21 tahun dahulu akibat daripada teknologi yang berkembang.

“Era maklumat mempunyai generasinya sendiri, golongan pengguna digital — mereka yang hanya bergantung kepada dunia siber untuk berhubung. Mereka mengharapkan maklumat adalah bebas, demokrasi menjadi responsif, komunikasi menjadi global. Mereka mahukan peranan aktif dalam ekonomi digital.

“Diperkasakan oleh teknologi, golongan muda boleh melahirkan kekecewaan mereka kepada audien global. Ini mempunyai implikasi besar: kemunculan kesedaran baru mengenai politik antarabangsa,” tulis Najib dalam artikel tersebut./TheMalaysiaInsider


Ulasan