Terbaik!!! Pakatan Rakyat S'gor kerah 300,000 ke HKR 12 Jan

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat Selangor akan mengerahkan sejumlah 300 ribu yang terdiri daripada anggota, penggerak dan penyokong Pakatan Rakyat bagi menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) pada 12 Januari nanti.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Osman berkata, Pakatan Rakyat Selangor komited terhadap usaha untuk menggembleng solidariti rakyat bagi menyatakan pendirian berkenaan isu-isu yang berkaitan dengan pentadbiran negara, ekonomi, alam sekitar dan pilihan raya.

Jelas beliau lagi, HKR adalah wahana bagi rakyat untuk menyatakan pendirian terhadap kerajaan, sokongan padu perlu diberikan kepada semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung demi kepentingan rakyat.

"Pakatan Rakyat Selangor akan melakukan mobilasi rakyat untuk bersama-sama dalam himpunan yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 12 Januari nanti.

"Atas usaha itu Pakatan Rakyat Selangor melakukan mobilasi sejumlah 300 ribu rakyat negeri ini untuk turun pada hari tersebut dengan menyatakan sokongan mereka atas apa yang kita perjuangkan," jelas beliau pada sidang media Ibu Pejabat PKR pagi ini.

Tambah beliau lagi, Pakatan Rakyat Selangor mengesa seluruh rakyat untuk mula bergerak ke Kuala Lumpur seawal 11 Januari lagi serta berharap mereka dapat menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.

"Seperti mana himpunan sebelum ini, kami menyeru seluruh rakyat yang hadir pada hari tersebut menjaga tatasusila dan tidak menghiraukan sebarang provokasi yang dilakukan oleh pihak lain.

"Kita juga mengharapkan himpunan kali ini menjadi sebahagian perubahan sejarah politik negara yang kemuncak dalam Pilihan Raya Umum ke 13," tambah beliau lagi.

Dr Rani yang pada itu juga mengesa seluruh ahli PAS di negeri ini hadir bersama-sama pada himpunan tersebut.

Sementara itu, Pengerusi DAP Teresa Kok memberitahu Pakatan Rakyat dan juga penganjur masih lagi menunggu jawapan dari pihak berkenaan mengenai kebenaran menggunakan Stadium Merdeka pada 12 Januari nanti.

"Sebelum ini Perdana Menteri menyatakan kerajaan tidak mempunyai masalah untuk memberi kebenaran jika himpunan tersebut diadakan di stadium, namun sehingga kini kita tidak mendapat apa-apa jawapan dari cadangan yang telah kita nyatakan itu.

"Malah pihak berkuasa juga belum memberi apa-apa respon, dan kami akan terus juga mengadakan himpunan tersebut di stadium merdeka walaupun tiada jawapan diberikan," kata beliau.

Beliau yang juga berharap Perdana Menteri dapat menunaikan apa yang diperkatakan sebelum ini berhubungan himpunan jika dilakukan di stadium.

Adun Batu Cave, Amiruddin Shari pula menyatakan PKR Selangor juga telah memaklumkan kepada semua peringkat cabang untuk menggerakkan anggota parti agar hadir.

Beliau juga berharap himpunan ini menjadi yang terbaik dan tanpa ada sebarang provokasi dilakukan oleh pihak luar yang boleh mencetuskan huru hara./HarakahDaily

Ulasan