Serah kepada Pakatan jika BN tidak mampu tadbir

KUALA LUMPUR: PAS Negeri Sembilan meminta Barisan Nasional menyerahkan Malaysia kepada Pakatan Rakyat jika tidak mampu untuk mentadbir bagi menjadikan Malaysia dengan lebih baik.

Perkara tersebut diutarakan Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Nor Azman Mohamad (gambar) ekoran kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung Manifesto Rakyat ‘Pakatan Harapan Rakyat’.

Mohamad mempertikan bagaimana Pakatan mendapat dana bagi merealisasikan manifesto tersebut.

Malah Menteri Besar Negeri Sembilan itu juga turut menyindir secara sinis tentang janji Pakatan untuk menghapuskan tol.

"Kenyataan tersebut menggambarkan bahawa Barisan Nasional (BN) tidak mampu malah tidak pernah memikirkan bagaimana cara untuk memberi keuntungan kepada rakyat melalui kebajikan.

"Negara kita kaya dengan sumber bumi, tetapi BN gagal memanfaatkan dan melalui pentadbiran BN juga banyak kes rasuah dan penyelewengan wang berlaku terutama dalam kalangan pimpinan BN sendiri," jelas Nor Azman.

Menurutnya lagi, wang yang sepatutnya dibelanjakan untuk rakyat tetapi akhirnya diboroskan oleh pimpinan BN.

Sebagai contoh kes yang memalukan BN yang berlaku di Negeri Sembilan iaitu melalui Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang melibatkan RM250 juta duit rakyat, jelas beliau.

"Tindakan kerajaan menghapuskan hutang Tan Sri Tajudin Ramli yang bernilai RM589 juta menimbulkan kemarahan rakyat kerana rakyat dibelenggu kemiskinan tetapi kroni BN mendapat untung.
"Ini hanya sedikit isu yang ditimbulkan, dan sudah nyata bahawa Malaysia sememangnya kaya dan kekayaan tersebut mesti dibahagikan kepada rakyat bukan untuk kroni," sambung beliau lagi.

Nor Azman yakin, pimpinan BN sangat fobia dengan manifesto Pakatan sehingga mereka tidak membaca dengan teliti setiap inci perancangan di dalam manifesto tersebut.

Tambahnya lagi, Mohamad sepatutnya malu mengeluarkan kenyataan tersebut kerana secara terang terangan telah menjelaskan bahawa BN memang tidak mampu mentadbir Malaysia dengan baik./HarakahDaily

[Klik Start Jika Nak Dengar Radio]
Eksklusif Bersama Radio CiliFM
Buat Permintaan Lagu Klik SINI

Ulasan