Hudud: Pas, PR perlu berbincang

KOTA BHARU – Pas diminta berbincang dengan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) mengenai satu titik persamaan bagi mendapatkan cara terbaik untuk membendung masalah jenayah jika tidak bersetuju dengan pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) atau hudud di negeri ini.

Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Pusat, Hu Phang Chaw berkata, apa yang dapat dilihat ketika ini ialah perbezaan pendapat antara satu sama lain yang mungkin menyebabkan hubungan parti sekutu PR dipolemik pihak-pihak tertentu.

“PR perlu berbincang, mungkin ada cara lain yang boleh membantu menyelesaikan masalah ini dengan titik persamaan yang disetujui semua pihak, memang diakui Pas melihat hudud sebagai salah satu cara untuk mendidik umat Islam, tapi bagi pendapat saya, DAP pula melihat kepada Perlembagaan dan keperluan rakyat terhadap hukuman itu, ini tiga perkara yang berbeza.

“Oleh sebab itu mereka (parti komponen PR) perlu duduk dan berbincang, apakah cara yang lebih baik mencegah jenayah yang mungkin tidak melibatkan agama dan bangsa, jenayah berlaku tidak mengira dua perkara (agama dan bangsa) tersebut, maka cara penyelesaiannya perlu lebih terbuka,” katanya.

Menurutnya, setiap pihak boleh bersuara bersesuaian dengan demokrasi yang diamalkan sama ada ia diterima secara positif mahupun negatif kerana setiap parti mempunyai pandangan  sendiri dalam melihat keberkesanan pelaksanaan enakmen tersebut kepada masyarakat.

Ketika ditanya mengenai punca masalah jenayah dalam negara, Phang Chaw berkata, kerajaan sepatutnya mencari jalan penyelesaian dari akar umbi pendidikan yang lebih berdisiplin, bukan hanya mahu melahirkan generasi bijak pandai tetapi tidak dilengkapi dengan disiplin dan tamadun berkualiti.

Sinar Harian

Ulasan