Kereta peronda terbalik kejar penjenayah [Melaka]

Dua anggota polis cedera selepas kereta peronda mereka terbalik ketika mengejar sebuah kenderaan disyaki dinaiki penjenayah di persimpangan lampu isyarat Taman Ciptaco, Ayer Keroh di Melaka, hari ini.
  
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata dalam kejadian 1.25 pagi itu, Koperal Mohd Tarmizee Wan Dolah, 37, dan Lans Koperal Muhamad Hanif Hashim, 27, sedang melakukan tugas rondaan sebelum terserempak dengan sebuah kenderaan mencurigakan di Taman Muzaffar Heights, Ayer Keroh.
  
"Kedua-dua anggota mengarahkan tiga lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Wira berwarna hijau tanpa nombor pendaftaran itu berhenti tetapi tidak diendahkan sebaliknya mereka memecut laju ke arah pusat bandar raya Melaka.
  
"Anggota polis berkenaan kemudian mengejar kenderaan terbabit sebelum penjenayah menghimpit kereta peronda polis menyebabkan ia terlanggar bahu jalan sebelum terbalik," katanya kepada pemberita di Melaka, hari ini.
  
Katanya suspek kemudian memandu kenderaannya ke arah Taman Ciptaco di Melaka sebelum berjaya meloloskan diri.
  
Salehhudin berkata ekoran kejadian itu, Muhamad Hanif yang memandu kereta peronda itu mengalami kecederaan di bahagian siku manakala Mohd Tarmizee mengalami luka di kepala.
  
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian itu agar tampil membantu siasatan. mk

 

Ulasan