PUNB peruntuk dana RM275 juta [ Bisnes ]

PUNB peruntuk dana RM275 juta



PERBADANAN Usahawan Nasional Bhd (PUNB) memperuntukkan RM275 juta dana yang akan disalurkan kepada usahawan melalui empat skim sedia ada tahun ini.

Empat skim tersebut adalah Skim Prosper Usahawan Muda (Puma), Skim Runcit, Skim Pemborong dan Skim Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Dzulkifli Fadzillah berkata, setiap tahun PUNB akan menetapkan sejumlah dana untuk pembangunan perniagaan kepada sekurang-kurangnya 600 usahawan. Tahun lalu, PUNB menetapkan dana sebanyak RM230 juta.

“Daripada jumlah itu, RM80 juta hingga RM85 juta telah disalurkan kepada usahawan yang memohon sehingga Mac tahun ini,” katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah PUNB Biz Plan Challenge 2013 di Kuala Lumpur, semalam.

PUNB Biz Plan Challenge 2013 bertujuan mencungkil idea perniagaan baru dan inovatif daripada usahawan muda Bumiputera dengan hadiah berupa geran perniagaan RM170,000 dan berlangsung dari November 2013 hingga 28 Februari 2014.

Turut hadir dalam majlis itu Pengerusi PUNB, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Menurut Dzulkifli, daripada empat skim PUNB, Skim Peruncit dan Pemborong menerima dana paling banyak iaitu RM160 juta.

Katanya, bagi tahun depan pula, sebanyak RM325 juta dana akan diperuntukkan.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, menerusi Skim Puma, sebanyak RM49.58 juta dana telah diluluskan kepada 1,129 perniagaan yang melibatkan 1,173 usahawan muda sehingga 31 Mac 2014.

Katanya, antara sektor yang menerima dana tertinggi daripada PUNB ialah pakaian, tekstil dan aksesori (RM8.44 juta), makanan dan minuman (RM5.84 juta), teknologi maklumat (RM5.28 juta), perkakasan dan kejuruteraan (RM4.57 juta) serta kenderaan bermotor (RM4.06 juta).

Sinar Harian

Ulasan