Selangor catat pelaburan bernilai RM9.8 bilion

KUALA LUMPUR: Selangor mencatatkan pelaburan kedua tertinggi antara negeri di Malaysia dengan jumlah sebanyak RM9.833 bilion pada tahun 2013, lapor Selangor Kini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Kampung Baharu Dan Pemutihan Kilang Haram negeri, Ean Yong Hian Wah (kanan) berkata jumlah pelaburan itu adalah daripada 228 projek yang diluluskan melalui pelabur asing dan tempatan.

Katanya, sebanyak RM3.62 bilion diperolehi daripada pelaburan asing, manakala sebanyak RM6.2 bilion daripada pelaburan tempatan.

“Jumlah pelaburan di negeri ini menunjukkan bahawa ekonomi Selangor masih lagi mantap dan merupakan destinasi pelaburan yang popular bagi pelabur asing dan tempatan,” katanya yang menjawab pertanyaan Adun Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan (kiri) pada persidangan Dewan Negeri Selangor di Shah Alam.

Ean berkata di kalangan pelaburan asing di Selangor, Jepun menanam pelaburan tertinggi dengan nilai pelaburan sebanyak RM1.017 bilion.

Ini, jelasnya diikuti Singapura sebanyak RM840 juta, Amerika Syarikat (RM459 juta), China (RM228 juta) dan Switzerland (RM212 juta).

“Antara faktor utama yang menarik pelabur asing adalah kedudukan negeri strategik dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang.

“Selain itu ialah faktor kestabilan politik, penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, perlindungan harta intelek, kemudahan infrastuktur yang selesa, perkhidmatan logistik, sumber tenaga mahir dan separuh mahir serta pusat perubatan bertaraf antarabangsa dan pendidikan antarabangsa,” katanya.

Beliau turut memaklumkan dalam jangka masa pendek ketika ini, kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 turut memberi kesan kepada pelaburan daripada negara China.

“Namun, kita akan terus menjalinkan hubungan dan mengekalkan pelaburan dengan negara ini, tambahan lagi kita akan mengadakan promosi di negara itu melalui Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC),” katanya.

HarakahDaily


Ulasan