Saman Nizar, WWW1: Mahkamah tolak permohonan TV3

 

  

PENJIMAT MINYAK PETROL  

BERBAIK!!! UNTUK KENDERAAN ANDA
KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam menolak notis usul permohonan semakan semula oleh TV3 berhubung pembidaan plat WWW1 yang membabitkan Sultan Johor.

TV3 memohon untuk menolak keputusan Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur pada 25 Februari lalu yang telah membenarkan rayuan Mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin ke atas keputusan Mahkamah Tinggi sebelum itu.

Peguam yang mewakili TV3, TH Liew memberikan alasan bahawasanya seorang daripada tiga orang hakim yang mendengar rayuan iaitu Mohamad Ariff Md Yusof pernah menjadi ahli PAS yang aktif.

TH Liew juga mendakwa hakim itu pernah menjadi calon PAS pada Pilihan Raya Umum ke-11 dan juga pernah menjadi penasihat undang-undang PAS.

Mohamad Ariff juga dikatakan pernah mewakili PAS dalam beberapa kes petisyen pilihanraya dan pihak TV3 merasakan bahawa hakim itu menarik diri daripada mendengar rayuan Nizar yang sudah diketahui umum adalah seorang ahli dan pimpinan PAS.

TV3 beranggapan Mohamad Ariff perlu menarik diri seperti mana yang pernah dilakukannya semasa beliau mendengar kes semakan kehakiman Nizar terhadap Dato' Dr Zamrbry Kadir pada tahun 2009 berhubung isu krisis politik Perak ketika itu.

Dalam pada itu, peguam Nizar, Mohd Fitri Asmuni dan Mohamad Zamri Ibrahim ketika memberikan hujahannya semalam menyatakan mahkamah tidak sepatutnya mendengar kes ini dan perlu menolak permohonan TV3 itu kerana keputusan yang dikeluarkan pada 25 Februari lalu bukanlah keputusan daripada mahkamah tertinggi.

Dalam erti kata yang lain tv3 masih mempunyai peluang untuk membangkitkan itu tersebut di dalam rayuannya  di Mahkamah Persekutuan tanpa perlu membuat permohonan semakan semula penghakiman Mahkamah Rayuan tersebut.

Ketua barisan hakim yang mendengar rayuan tersebut, Tan Sri Md Raus Sharif bagaimanapun menolak permohonan TV3 dan bersetuju dengan hujahan pihak Nizar bahawa penghakiman yang diberikan oleh Mahkamah Rayuan pada 25 Februari bukanlah penghakiman daripada mahkamah tertinggi.

Hakim juga bersetuju dengan hujah peguam Nizar bahawa TV3 sepatutnya membangkitkan isu tersebut di dalam rayuan mereka di dalam Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah memerintahkan agar TV3 membayar kos sebanyak RM5,000 kepada Nizar.

Adun Changkat Jering itu menyaman TV3 berikutan stesen TV itu menerbitkan pernyataan fitnah berhubung pembelian nombor plat kenderaan WWW 1 yang dibida pada harga RM520,000 oleh Sultan Johor.

Mahkamah Tinggi pada 12 April 2013 telah menolak saman yang difailkan itu, walaubagaimanapun Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuan terhadap kes tersebut.

 HARAKAHDAILY 18/7/2014

Ulasan