Bukan Sekadar Akta Tetapi Tindakan PDRM dan Pejabat AG Jangan Selektif


Kenyataan Umum
10 Januari 2015

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melihat kenyataan twitter Ketua Polis Negara yang mengatakan keperluan Akta Hasutan ekoran daripada insiden Charlie Hebro adalah satu kenyataan separuh masak. SAMM berpandangan dalam menghadapi ancaman keganasan pelampau agama dan rasis ini, bukan sekadar Akta Undang-Undang sahaja yang diperlukan.

Sebaliknya tindakan tidak selektif PDRM dan Pejabat Peguam Negara juga amat perlu. Tanpa tindakan neutral daripada dua agensi ini, penguatkuasaan undang-undang dan membanteras perkara ini tidak juga akan berlaku dengan tuntas. Kita telah melihat bagaimana Pejabat Peguam Negara gagal mengambil tindakan terhadap Ibrahim Ali yang telah mengeluarkan kenyataan yang mengancam dan mengugut agama lain.


Dunia barat terus-terusan memunculkan gerakan Islamophobia dengan pelbagai tekanan sama ada berbentuk kenyataan, tulisan, perundangan dan sebagainya oleh kelompok majoriti terhadap minoriti Muslim. Sehingga akhirnya telah memunculkan satu bentuk fahaman separuh masak dalam aspek jihad dan mempertahankan Rasulullah SAW yang mana akhirnya telah melahirkan reaksi ganas dan melampau ini.

Sama ada di Peranchis, London atau pun Madrid, insiden ini adalah berpunca daripada siri kenyataan dan tindak tanduk tidak sensitif kelompok majoriti terhadap sentimen dan perasaan kelompok minoriti. Di Malaysia hakikatnya kita sedang mengulangi apa yang dibuat Barat dalam isu Islamophobia. Kita tidak mempedulikan sentimen minoriti. Apa akan jadi jika minoriti ini mengambil tindakan sama seperti segelintir pelampau Muslim di Barat?

Insiden Charlie Hebro ini adalah satu bukti kegagalan unit risikan badan penguatkuasa undang-undang. Ia juga satu manifestasi reaksi kelompok minoriti terhadap segala ancaman, ugutan dan tekanan yang dihamburkan kepada mereka oleh majoriti. Inilah yang sepatutnya kita ambil perhatian dan pengajaran bukannya tampil dengan kenyataan untuk menghalalkan Akta drakonian.

SAMM menasihatkan Ketua Polis Negara agar memahami perkara ini dengan jelas dan kemudiannya menasihatkan dirinya dan pasukannya secara keseluruhan serta Pejabat Peguam Negara agar tidak mencontohi dunia barat yang hanya sekadar mempertahankan kelompok majoriti tanpa ada sekelumit rasa untuk mempertahankan kelompok minoriti. Rasa amarah yang dipendam untuk tempoh yang lama adalah sangat memudaratkan jika ia meletus.

Che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia

Ulasan