Perusahaan serondeng Tumpat pulih 2 bulan lagi


Perusahaan serondeng daging, ayam dan ikan di Kampung Laut di Tumpat, dijangka akan pulih dalam tempoh dua bulan lagi berikutan rata-rata usahawan di kawasan tersebut mengalami kerugian besar akibat banjir teruk yang melanda negeri ini, bulan lepas.

Seorang pengusaha Harun Hasan, 69, berkata walaupun Kampung Laut sering dinaiki air ketika musim tengkujuh, namun banjir besar yang berlaku Disember lepas telah menenggelamkan pelbagai peralatan dan mesin bagi membuat serondeng.

"Air naik mendadak sehingga mencapai tiga meter menyebabkan saya gagal menyelamatkan sebarang peralatan membuat serondeng, menyebabkan lapan mesin pelbagai yang bernilai RM60,000, rosak.

"Selain itu, saya terpaksa membatalkan tempahan yang dibuat pelanggan sebelum banjir berjumlah RM20,00. Saya jangka akan kembali beroperasi dua bulan lagi," katanya ketika ditemui pemberita di Tumpat, baru-baru ini.


Kira-kira 50 usahawan menjalankan perniagaan serondeng di Kampung Laut yang terletak berdekatan Sungai Kelantan dan perusahaan itu telah dijalankan selama empat generasi dan terkenal di seluruh negara kerana keaslian dan keenakannya.

Seorang lagi pengusaha, Wan Asmariah Wan Mohamad, 41, berkata kilang membuat serondeng miliknya yang terletak di tebing Sungai Kelantan musnah 80 peratus selain kehilangan beberapa kawah yang digunakan untuk memasak makanan itu.

"Selain itu, pelbagai mesin dan peralatan turut rosak. Setiap kali musim banjir saya akan meletakkan mesin-mesin berkenaan di atas meja dan mencabut enjinnya, namun walaupun berbuat demikian paras air sangat tinggi hingga menenggelamkan mesin berkenaan.

"Saya bernasib baik kerana ada simpanan kira-kira 100 kilogram serondeng daging yang sempat diselamatkan. Ia akan digunakan untuk memenuhi tempahan pelanggan sehingga keadaan kembali pulih," kata pengusaha generasi keempat itu.

Sebelum ini, Perbadanan Usahawan Kecil dan Sederhana (SME Corp) turut menyediakan kemudahan pinjaman sehingga RM80,000 serta bantuan geran sehingga RM20,000 bagi membolehkan peniaga terlibat melakukan usaha baik pulih premis perniagaan serta menggantikan jentera yang rosak akibat banjir.

Selain itu, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) memberi 'laluan khas' dengan pinjaman khas sebanyak RM10,000 kepada peniaga untuk memulakan kembali perniagaan mereka yang terjejas akibat bencana alam itu.

Malaysiakini

Ulasan