ISU HUDUD : AMANAT ALMARHUM TUAN GURU NIK AZIZ NIK MAT


Dewan Pemuda PAS Kota Bharu merasa bimbang dengan perkembangan mutakhir yang berlaku di dalam PAS khususnya kedudukan PAS di dalam Pakatan Rakyat selepas pemergian ke rahmatullah Almarhum Mursyidul Am, Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Jika kita masih ingat, pada 9 September 2014 lalu, Tuan Guru pernah menyebut: “Kita tiga parti yang berpakat melawan Umno. PAS adalah kakak yang tua, sudah ada dari 1951 lagi.

PERGINYA ULAMA DUNIA

Orang PAS ada pengalaman yang begitu banyak sebelum orang lain.” Selaku abang sulung di dalam PR, PAS sudah sepatutnya menerima penghormatan dari parti-parti yang lebih muda usianya, iaitu PKR dan DAP. Jika ada perkara yang PKR dan DAP tidak bersetuju maka sepatutnya perkara ini hendaklah dibincangkan secara tertutup. Selaku abang sulung juga di dalam PR, pimpinan PAS juga seharusnya perlu lebih bijaksana mengawal emosi.

Tidak perlulah kita melayan semua kenyataan yang dibuat adik-adik kita, yang perlu dilayan kita hanyalah kenyataan rasmi yang dibuat mereka sahaja. Sebab itulah Dewan Pemuda PAS Kota Baharu terperanjat dengan reaksi keras Penolong Setiausaha Agung PAS yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, ke atas kenyataan Gobind Singh Deo mengenai isu perlaksanaan hudud di Kelantan. Kata Takiyuddin di muka depan akhbar Sinar Harian dan akhbar-akhbar lain hari ini, “PR bukan kepunyaan DAP.


Kita (PR) juga tak ada ketua utama. Kalau tidak setuju (dengan perlaksanaan hudud di Kelantan), DAP boleh keluar. Kenapa nak suruh kita (PAS) keluar?” Pada pandangan Dewan Pemuda PAS Kota Baharu, kenyataan sebegini tidak mencerminkan kematangan seorang pemimpin tinggi PAS dan sebenarnya tidak melambangkan hasrat keseluruhan ahli peringkat akar umbi PAS di Kota Bharu khususnya.

Pertamanya, Kota Baharu adalah satu kawasan yang unik di Kelantan kerana ia mempunyai pengundi bukan Melayu yang agak besar jumlahnya, dan sekiranya PAS hilang kepercayaan dari pengundi bukan Melayu, maka besar kemungkinan PAS boleh hilang beberapa kerusi di sini.

Keduanya, sebagaimana disebutkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, di muka tiga akhbar Sinar Harian hari ini, kenyataan Gobind, yang bukan pun pimpinan utama DAP, ini hanyalah pandangan peribadi beliau dan bukannya mewakili pandangan rasmi DAP.

Ketiganya, mengikut fahaman Dewan Pemuda PAS Kota Baharu, kenyataan Gobind ini tidak mengandungi ayat menyuruh PAS keluar dari PR jika berkeras mahu melaksanakan hudud.
Apa yang disebut beliau ialah PAS tidak lagi akan dilihat sebagai sebahagian daripada PR jika ia membentangkan rang undang-undang hudud di dalam sidang Dewan Undangan Negeri pada 18 Mac 2015 kerana rang undang-undang ini tidak disokong PR dan kerana ia bertentangan dengan persetujuan Mesyuarat Majlis Presiden PR lalu yang memutuskan supaya perbincangan lanjut ke atasnya perlu dibuat sebelum apa-apa langkah susulan dibuat.

Keempatnya, jika pun kenyataan Gobind ini mewakili pandangan rasmi DAP, kenyataan balas pimpinan PAS berupa “Kalau tidak setuju (dengan perlaksanaan hudud di Kelantan), DAP boleh keluar” bukanlah satu kenyataan yang berhikmah. Ini adalah kerana ia jauh bertentangan dengan amanat Almarhum Mursyidul Am yang sering menyebut mengenai keperluan untuk menyeru ke jalan Tuhan dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan untuk berbahas dengan mereka dengan cara yang lebih baik (Surah al-Nahl: 125).

Kenyataan ini boleh memberikan gambaran tidak tepat mengenai PAS kepada pengundi bukan Melayu, seolah-olah PAS sebuah parti politik yang angkuh dan bongkak serta tidak memerlukan sokongan pengundi bukan Melayu untuk mencapai kejayaan walhal di Kelantan sendiri Almarhum Mursyidul Am sejak tahun 1985 lagi mendekatkan PAS dengan mereka. Lebih-lebih lagi apabila Setiausaha Agung PAS, Mustafa, di muka tiga akhbar Sinar Harian hari ini, menyebut “mana-mana pemimpin PR tidak boleh sewenang-wenangnya membangkitkan isu mengenai PAS perlu keluar daripada pakatan pembangkang itu” yang mana ingatan kepada pemimpin DAP ini sudah tentu turut terpakai kepada pemimpin PAS sama.

Persoalan mengenai kedudukan PAS atau DAP di dalam PR ini tidak seharusnya ditimbulkan mana-mana pemimpin di peringkat negeri, sebaliknya ia hanya wajar diperkatakan pemimpin tertinggi parti di peringkat pusat sahaja, itu pun dengan tertakluk kepada ketetapan-ketetapan Muktamar-Muktamar Tahunan PAS lalu yang meminta supaya PR diperkukuhkan.

Dewan Pemuda PAS Kota Baharu ingin mencadangkan, sementara pemimpin di peringkat negeri, khususnya pemimpin kerajaan Kelantan, berhak untuk memperkatakan mengenai cadangan perlaksanaan hudud di Kelantan, kenyataan sebegini seharusnya terhenti setakat cadangan perlaksanaan hudud di Kelantan sahaja dan apa-apa kenyataan mengenai kedudukan PAS atau DAP di dalam PR perlu diserahkan untuk diperkatakan pemimpin tertinggi parti di peringkat pusat sahaja bagi menjamin keharmonian hubungan sesama parti.

Dewan Pemuda PAS Kota Baharu juga berharap agar agenda murni perlaksanaan hudud di Kelantan ini dapat diteruskan dengan program penjelasan yang lebih baik khususnya kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS dan rakan rakan Pakatan Rakyat serystidak dicampur-adukkan dengan sebarang agenda peribadi mana-mana pemimpin.

* Dr Rosli Allani Abdul Kadir merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Kota Bharu.

Ulasan