Bank Rakyat kekal dividen 15 peratus

 Bank Rakyat kekal dividen 15 peratus

BANK Rakyat mengisytiharkan dividen tunai 15 peratus dikekalkan dengan jumlah RM450 juta kepada 924,464 anggotanya bagi keputusan kewangan suku pertama berakhir pada 31 Mac lalu.

Institusi perbankan itu turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat RM54.83 juta, meningkat 1.4 peratus daripada RM534.13 juta bagi tempoh sama.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek berkata, kejayaan bank tersebut memperoleh peningkatan keuntungan bersih kepada RM478.88 juta berbanding RM460.14 juta, iaitu meningkat sebanyak 4.1 peratus.

“Saya harap Bank Rakyat terus mengekalkan kecemerlangan terutamanya dalam menyalurkan khidmat dan dividen untuk anggotanya.

“Sejajar dengan itu, kami akan melancarkan pelbagai produk baharu yang tidak terdapat di institusi perbankan lain,” katanya ketika mengumumkan penyata kewangan bank itu di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat, baru-baru ini.

Dalam masa sama, beliau menggalakkan koperasi di negara ini agar melakukan pelaburan di Bank Rakyat untuk membantu ahli mendapat pulangan pelaburan yang terjamin.


Beliau berkata,  KPDNKK banyak melaksanakan dasar gerakan koperasi yang terbukti menjadi penyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

“Menerusi pelan strategik Dasar Koperasi Negara, kerajaan mahu gerakan koperasi menjadi enjin pertubuhan ekonomi ketiga terbesar negara.

“Selaras dengan pelan itu, kami menyasarkan 70 peratus koperasi terlibat dengan pelaburan di perbankan ini,” katanya.

Sinar Harian

Ulasan