Langkau ke kandungan utama

Tadbir urus tanah lemah, kerajaan rugi jutaan ringgit

 MOKH0836 M

KUALA LUMPUR, 8 April:

Kerajaan bakal kerugian jutaan ringgit sekiranya tidak menaik taraf pengurusan sistem pajakan yang kini sangat lemah terumatamanya melibatkan tanah milik kerajaan Persekutuan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed, kebanyakan tanah milik kerajaan persekutuan dipajakkan pada kadar bayaran nominal yang lebih rendah berbanding nilai pajakan komersial.

“Dengan keadaan begini, kalau kita lihat dari segi nilai kerajaan mungkin akan hilang jutaan ringgit.
“Oleh itu saya lihat ada keperluan untuk KPTG (Ketua Pengarah Tanah dan Galian) diperkukuhkan kuasa untuk menjaga tanah-tanah milik kerajaan persekutuan ini dan meningkatkan hasil maksima melalui pajakan.

“Sebab sekarang ini, KPTG hanya berfungsi macam pendaftar sahaja, jadi mereka seharusnya menjaga tanah-tanah tersebut dan pastikan hasil tanah direkod,” katanya di dalam sidang media di Parlimen hari ini.


Ahli Parlimen Pulai itu mengambil contoh tempoh pajakan tanah yang diberikan kepada syarikat YTL untuk melaksanakan projek BertariNet di sekolah-sekolah di seluruh negara.

“YTL sewa RM120 setahun untuk satu tapak tanah dan itu nilai yang sangat rendah, ada sesetengah tapak di sekolah berada di kawasan bandar dan ada nilai tanah yang tinggi,” katanya.

Menurut beliau lagi, pertemuan yang dijalankan PAC bersama Jabatan KPTG hari ini, pihaknya mengenal pasti sejumlah 2,000 sekolah digunakan untuk pembinaan menara Bestari Net di seluruh negara.

“Kementerian pendidikan tidak meletakkan syarat sewa tapak dalam perjanjian asal.
“KPTG tidak boleh letak sewa harga komersial, sekarang harga nominal. Kita pun tidak tahu adakah tanah itu untuk projek Bestari Net atau untuk kegunaan komersial lain,” katanya.

Nur Jazlan bagaimanapun berkata, amalan kerajaan sekarang adalah meletakkan harga pajakan tanah pada tahap nominal.

“Tanah kerajaan yang dipajak MRT ikut tempoh konsesi MRT Co, tempoh pajakan itu belum diputuskan Kementerian Kewangan, untuk LRT, tempoh diberikan 30 tahun, pada kadar sewa tanah nominal,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan agar fungsi KPTG yang kini bertindak sebagai pentadbir tanah dinaik taraf kepada penjaga tanah berkenaan untuk membolehkan pulangan hasil yang lebih tinggi kepada kerajaan.

TheRakyatPost

Ulasan